Final Piala AFC di SNBJ
Kuala Lumpur: Harapan barisan pemain dan jurulatih Kuala Lumpur City FC (KL City) untuk beraksi di Stadium Bolasepak Cheras pada final Piala AFC menentang kelab Oman, Al Seeb pada 22 Oktober ini tampaknya tidak kesampaian apabila venue itu terpaksa diubah ke Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ).
Perkara itu disahkan pengendali KL City, Bojan Hodak yang terpaksa mengikut keputusan Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) selepas Stadium Bolasepak Kuala Lumpur didapati tidak mencapai standard diperlukan untuk menjadi tuan rumah aksi kemuncak itu.
Katanya, masalah penggunaan video bantuan pengadil (VAR) dan isu kecerahan lampu limpah yang tidak memenuhi 1800 lux adalah dua punca mengapa lokasi itu diubah.
“Ya (final di Bukit Jalil) kerana mereka perlu menggunakan VAR…mereka juga perlu mempunyai 1800 lux untuk kecerahan yang tidak ada di sini (Stadium Bolasepak Kuala Lumpur), perubahan ini disebabkan isu teknikal.
“Kesemua pemain dan jurulatihan mahu bermain di Cheras, kerana kami sudah biasa dengan stadium ini.
“Tapi disebabkan isu teknikal, kami tak dapat bermain di Cheras,” katanya ketika ditemui pada aksi Liga Super menentang Terengganu FC di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur, Cheras malam tadi yang berkesudahan pasukannya tewas 1-2.
Sebelum ini KL City mencipta kejutan di pentas Asia apabila mara ke final Piala AFC buat pertama kalinya selepas melepasi peringkat final Antara Zon dengan menumbangkan kelab Uzbekistan, Sogdiana Jizzakh menerusi penentuan sepakan penalti 5-3 selepas terikat tanpa jaringan dalam 120 minit.
Kejayaan itu menyaksikan KL City hanya tinggal selangkah untuk mengikut jejak Johor Darul Ta’zim yang pernah menjulang Piala AFC pada 2015 lalu selepas menewaskan FC Istiklol dari Tajikistan dengan 1-0 di tempat lawan di Dushanbe.
Begitupun peluang anak buah Hodak dilihat lebih baik apabila dipilih oleh AFC untuk mengadakan aksi final di Kuala Lumpur sekali gus beraksi di depan ribuan penyokong sendiri.
METRO