Lelaki disyaki bunuh bayi sendiri ada lapan rekod jenayah
ALOR SETAR – Lelaki yang dipercayai membunuh bayi lelakinya berusia tiga bulan di sebuah rumah di Kampung Teluk Jawa, Padang Hang, dekat sini, pada Isnin lepas, mempunyai lapan rekod jenayah lampau termasuk kes dadah.
Ketua Polis Kedah, Wan Hassan Wan Ahmad, berkata suspek berumur 28 tahun itu ditahan reman selama tujuh hari hingga 17 Okt.
“Kita percaya suspek telah terlibat dengan penagihan dadah ini sejak dua, tiga tahun lepas dan dia mempunyai lapan rekod jenayah lampau melibatkan kes dadah dan lain-lain,” katanya ketika diminta mengulas mengenai perkembangan kes penemuan mayat bayi itu.
Semalam, Ketua Polis Kota Setar Ahmad Shukri Mat Akhir dalam kenyataan media memaklumkan, pihaknya menerima panggilan telefon berhubung penemuan mayat bayi lelaki berusia tiga bulan, dalam sebuah rumah di Kampung Teluk Jawa, Padang Hang, pada Isnin.
Hasil siasatan membawa kepada tangkapan seorang lelaki yang juga bapa kepada bayi itu di belakang sebuah rumah di Kampung Sungai Lintang dekat Padang Hang, pada hari sama.
Sementara itu, Wan Hassan berkata, dua lagi anak suspek yang berusia lima dan satu tahun yang dijaga ahli keluarga lain kini berada bawah pengawasan polis serta menjalani pemeriksaan kesihatan di Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar.
“Kita bimbang ada elemen gangguan seksual, sebab itu mereka dihantar ke hospital untuk pemeriksaan dan setakat ini masih belum dapat keputusan lagi. Bayi lelaki itu maut dipercayai akibat kecederaan di bahagian kepala disebabkan oleh hentakan benda tumpul.
“Dipercayai terdapat kamera litar tertutup (CCTV) di dalam rumah suspek, sekiranya benar polis akan buat rampasan bagi membantu siasatan kes,” katanya.
© FMT