Benzema akan menang Ballon d’Or jika ‘tidak dibatalkan’
BARCELONA: Robert Lewandowski masih belum melupakan majlis Ballon d’Or 2020 sambil berjenaka bahawa penyerang Real Madrid, Karim Benzema akan menang anugerah itu tahun ini melainkan ia dibatalkan sekali lagi.
Penyerang Poland itu berada di petak depan untuk menang anugerah individu berprestij sebagai pemain terbaik dunia pada 2020 tetapi majlis berkenaan dibatalkan pertama kali sejak 1956 kerana pandemik COVID-19.
Lewandowski sebaliknya diberikan anugerah “Penyerang Terbaik Tahunan” pada majlis berlangsung pada 2021 ketika penyerang Paris Saint-Germain, Lionel Messi menang gelaran ketujuh Ballon d’Or.
“(Benzema) mungkin seorang daripada pemain pilihan untuk menang Ballon d’Or,” kata Lewandowski kepada Movistar semalam.
“Jika mereka tidak membatalkan ia, mungkin dia akan menang Ballon d’Or.”
Benzema dijangka akan menang anugerah diberikan oleh majalah bola sepak Perancis itu, pada Isnin di Paris, selepas membantu pasukannya menang Liga Juara-Juara dan La Liga musim lalu.
Bayern Munich menang Bundesliga dan Liga Juara-Juara pada musim 2019-20 dengan Lewandowski meledak 15 gol di Eropah sebelum mencipta kemenangan mengatasi PSG di final.
AFP