Bursa Malaysia dibuka tinggi ikut jejak Wall Street

KUALA LUMPUR: Keuntungan semalaman yang dicatatkan Wall Street selepas pelabur mengetepikan laporan inflasi Amerika Syarikat (AS) yang lebih tinggi daripada jangkaan turut membantu Bursa Malaysia, menyaksikan ia dibuka dalam nada positif pagi Jumaat ini.

Pada 9.10 pagi, penanda aras FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) melonjak sebanyak 11.01 mata kepada 1,384.37 berbanding 1,373.36 pada penutupan urus niaga Khamis.

Indeks penanda aras itu memulakan urus niaga pagi ini dengan 8.27 mata lebih tinggi untuk mencatatkan paras 1,381.63.



Di pasaran yang lebih luas, kaunter untung mengatasi kaunter rugi 284 berbalas 71, manakala 187 kaunter tidak berubah, 1,804 tidak diniagakan dan 19 yang lain digantung.

Jumlah dagangan adalah sebanyak 190.59 juta unit bernilai RM79.92 juta.

Naib Presiden Penyelidikan Ekuiti Rakuten Trade Sdn Bhd, Thong Pak Leng, berkata Wall Street mempamerkan lantunan dramatik semalaman kerana peniaga sudah mengambil kira bahawa inflasi AS mungkin memuncak pada 8.2 peratus pada September 2022.

“Memandangkan ini, kami menjangkakan pasaran serantau turut mengukuh hari ini, namun, sama ada aliran menaik itu kekal atau tidak masih perlu dipantau.



“Oleh itu, kami juga mengunjurkan FBM KLCI akan menebus kerugiannya sejak beberapa hari lepas dan didagangkan dalam julat 1,375-1,400 hari ini,” katanya kepada Bernama.

Dalam kalangan saham wajaran tinggi, Maybank, Public Bank dan IHH Healthcare semuanya naik tiga sen kepada RM8.50, RM4.20, dan RM5.63, Petronas Chemicals meningkat tujuh sen menjadi RM8.52, dan CIMB lebih tinggi lapan sen kepada RM5.38.

Bagi saham aktif, Velesto Energy susut setengah sen kepada 11 sen dan Artroniq turun 1.5 sen kepada 68.5 sen, manakala Top Glove naik dua sen menjadi 71 sen, Hiap Huat menambah satu sen kepada 16 sen dan Vinvest menokok setengah sen kepada 20.5 sen.

Di papan indeks, Indeks FBM Emas meningkat 66.20 mata kepada 9,864.72, FBM 70 naik 65.11 mata kepada 11,906.25, Indeks FBMT 100 menambah 70.85 mata menjadi 9,617.83, FBM 73.83 dan Indeks Emas Shariah mengukuh 73.70 mata menadi 9,841.24 manakala FBM ACE peroleh 14.88 mata kepada 4,632.53.



Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan meningkat 69.57 mata kepada 15,932.89, Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian menambah 1.41 mata kepada 169.92, Indeks Perladangan menokok 33.84 mata menjadi 6,381.86, dan Indeks Tenaga bertambah 4.56 mata kepada 672.51.

-BERNAMA

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button