Ini kisah Bilal tapi bukan kisah anak Neelofa
Kepala adik Bilal membesar sehingga berat kini mencecah 28 kilogram.
Nama si kecil Bilal sejak kebelakangan ini seolah-olah telah menjadi popular kerana sering bualan netizen di media sosial kerana pengaruhnya sebagai anak kepada pasangan selebriti terkenal iaitu Neelofa dan juga Haris.
Namun, terdapat seorang lagi si kecil Bilal yang sepatutnya menjadi perhatian dan tumpuan warga maya iaitu adik Mohammad Bilal Yusra Mohammad Azhar.
Menerusi laporan media, adik Bilal ini menghidap penyakit Alobar Holoprosencaphly di mana tempurung kepalanya membesar akibat kecacatan sehingga mencecah berat 28 kilogram.
Kata bapa Bilal, Azhar Arzemi, anaknya itu kini berusia 2 tahun dan berada pada tahap akhir selain memerlukan penjagaan rapi sehingga menyebabkan dia dan isteri tidak dapat bekerja tetap meskipun kesempitan wang.
Bilal juga difahamkan mempunyai masalah jantung berlubang selain tidak dapat melihat serta sumbing sejak lahir.
Sebelum ini, tangan dan kaki Bilal kerap bergerak tetapi kini dia tidak lagi aktif macam dahulu.
Bilal juga semakin kerap menangis pada waktu malam kerana kepalanya semakin membesar. Sebagai ayah, saya sedih lihat keadaannya menanggung derita. Kalau boleh biar saya sakit, jangan dia.
Kata Azhar lagi, kehidupannya kini juga susah kerana kos perbelanjaan bulanan Bilal sahaja sudah mencecah RM2,500 meskipun menerima bantuan bulanan zakat sebanyak RM200 selain RM500 sebulan sumbangan JKM.
Dia yang kini hanya bergantung pada jualan barangan makanan sejuk beku mengakui pendapatannya agak teruk dan tidak cukup berikutan kekurangan pelanggan.
Meskipun susah, Azhar dan isteri sedaya upaya tidak meminta sumbangan orang ramai namun meluahkan rasa syukur dan berterima kasih kepada mereka yang pernah menyumbang dari segi wang ringgit bagi tujuan meringankan beban.
© Harian Metro