Kisah Desakan Dan Dikhianati Pelompat Parti, Masih Kekal Dalam Ingatan
KUALA LUMPUR – Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata kisah pada Disember 2018 antara peristiwa yang masih diingati semua apabila beberapa pemimpin UMNO keluar parti.
Jelas beliau, dalam masa sama mereka bertindak mengugut Presiden UMNO supaya meletakkan jawatan atau seramai 10 lagi pemimpin UMNO akan menyertai mereka keluar parti.
“Ini sebuah peristiwa kira-kira empat tahun lalu. Sebuah kisah yang berlaku beberapa bulan selepas UMNO tertewas Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) angkara fitnah dan tipu daya.
“Mereka ketika itu memberi alasan kononnya Presiden UMNO tiada hala tuju dalam membawa UMNO mengadapi PRU15.
“Ketika mereka membuat desakan itu belum lagi menyertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) tetapi mengisytiharkan sokongan terbuka kepada Tun Dr Mahathir Mohamad.
“Selepas muslihat itu gagal, dua bulan kemudian baru mereka secara rasmi menyertai PPBM dan Pakatan Harapan (PH),” katanya menerusi satu hantaran di Facebook.
Mengulas lanjut beliau yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) berkata ironinya beberapa tahun kemudian mereka antara yang terlihat amat susah hati apabila UMNO meminta PRU15 diadakan selepas proklamasi darurat tamat pada 1 Ogos 2021.
“Sepatutnya mereka menyokong kerana UMNO telah pun membuktikan hala tujunya pada PRN Melaka, Johor dan juga hala tuju yang jelas untuk PRU15.
“Iaitu untuk kembali membentuk sebuah kerajaan BN yang dominan demi memastikan kestabilan dan kemakmuran negara.
“Apapun inilah antara kisah nyata dan benar berpandukan fakta yang harus menjadi pengajaran mendewasakan selepas sejarah hitam 9 Mei 2018 terjadi di Malaysia,” ujar beliau.
UMNO Online