Melampau caj lebih bayar parkir hingga RM7
Melaka: Pengurusan tempat letak kereta sebuah pusat beli-belah, di Banda Hilir, di sini, bersetuju memulangkan bayaran parkir tambahan RM7 kepada seorang pengunjung yang sebelum ini dikenakan caj parkir valet RM22 ketika mengunjungi premis itu, hujung minggu lalu.
Terdahulu, kejadian menimpa wanita terbabit tular di media sosial selepas dia meluahkan rasa tidak puas hati apabila perlu membayar jumlah keseluruhan parkir RM22 meskipun pada awalnya diberitahu kadar bayaran parkir valet RM15.
Menerusi video berdurasi lebih tiga minit itu, wanita terbabit turut mendakwa terpaksa memilih khidmat parkir valet selepas laluan masuk ke tempat letak kereta bahagian bawah pusat beli-belah itu diletakkan beberapa kon bersama tanda parkir penuh sedangkan terdapat parkir kosong.
Dia yang pada awalnya sudah membayar RM15 caj parkir valet kemudian perlu membayar RM7 lagi ketika mahu keluar.
Pengarah KPDNHEP Melaka Norena Jaafar berkata, susulan kejadian yang tular itu sepasukan penguat kuasa agensi terbabit ke lokasi kejadian bagi menjalankan siasatan lanjut berhubung perkara itu.
Beliau berkata, pasukan penguat kuasa mengadakan pertemuan dengan pihak pengurusan dan dimaklumkan parkir valet itu diurus oleh pihak ketiga dengan kadar bayaran RM15 untuk sekali masuk.
“Bayaran tambahan sebanyak RM7 pula dikenakan berikutan lokasi parkir valet itu terletak di dalam ruang parkir basement premis terbabit.
“Hasil maklum balas yang diberikan, pihak pengurusan parkir bersetuju untuk mengembalikan lebihan RM7 kepada pengadu,” katanya kepada media, hari ini.
Menurutnya, pihak pengurusan juga akan menambah baik sistem parkir valet yang mana tiada lagi caj biasa dikenakan.
“Sekiranya pelanggan memilih untuk meletakkan kenderaan mereka di ruang parkir valet pada masa akan datang tiada lagi caj RM7 akan dikenakan.
“Disebabkan, pihaknya mengaku bersalah atas kesalahan itu dan tidak akan lagi mengenakan caj tambahan selepas ini, KPDNHEP hanya memberi amaran namun sekiranya berlaku lagi tindakan akan diambil,” katanya.
METRO