Dua parah van pekerja langgar tiang papan iklan
KLANG: Dua parah manakala sembilan lagi pekerja kilang cedera apabila van pekerja yang dinaiki mereka terbabas melanggar tiang papan iklan di Jalan Batu 3 Lama berhadapan Klinik Kesihatan Bukit Kuda, awal pagi tadi.
Difahamkan, kesemua pekerja termasuk empat wanita dalam perjalanan ke sebuah kilang di Shah Alam sebelum terbabas.
Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Norazam Khamis, berkata berdasarkan maklumat awal, kesemua penumpang van berkenaan adalah warga tempatan berusia antara 30 hingga 40 tahun, dalam perjalanan ke sebuah kilang di Shah Alam.
Katanya, pihaknya menerima panggilan kecemasan mengenai insiden itu pada jam 6.17 pagi sebelum sepasukan pegawai serta anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sungai Pinang dikejarkan ke lokasi.
“Van berkenaan terbabas melanggar tiang papan iklan yang mana seorang mangsa lelaki tersepit di bahagian penumpang hadapan dan berjaya dikeluarkan pihak bomba.
“Terdapat dua mangsa parah termasuk seorang wanita akibat patah kaki kiri manakala sembilan lagi cedera ringan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Beliau berkata, kesemua mangsa kemudian dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR), Klang, untuk rawatan lanjut.
BHOnline