DUN Perak bubar hari ini

TAPAH: Perak membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) berkuat kuasa hari ini bagi memberi laluan kepada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad, berkata pembubaran dilakukan selepas mendapat warkah pengisytiharan daripada Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah semalam yang memberi perkenan untuk membubarkan DUN berkuat kuasa hari ini.

Katanya, ia selaras dengan Perkara 32(2), Undang-undang Tubuh Kerajaan Negeri Perak.



“Pembubaran bagi membolehkan Pilihan Raya Negeri dilaksanakan serentak dengan Pilihan Raya Umum di peringkat Persekutuan,” katanya pada sidang media khas di Pejabat Daerah dan Tanah Batang Padang, di sini hari ini.

Dilapor, pada Rabu, Saarani kali pertama menghadap Sultan Nazrin bagi mempersembahkan hasrat pembubaran DUN sebelum dititahkan sekali lagi menghadap pada Jumaat.

Saarani turut menyembah maklum mengenai pengumuman Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengenai pembubaran Parlimen berkuat kuasa 10 Oktober, serta syor supaya ketua kerajaan negeri mengambil tindakan untuk membubarkan DUN bagi membolehkan PRU-15 diadakan serentak.

Perak mengikut jejak dua lagi negeri ditadbir kerajaan Barisan Nasional (BN), iaitu Perlis dan Pahang yang membuat keputusan membubarkan DUN masing-masing pada Khamis dan Jumaat lalu.



Sementara DUN Melaka, Johor, Sabah dan Sarawak tidak akan dibubarkan kerana baharu melalui Pilihan Raya Negeri (PRN) dan kini belum mencapai tempoh matang.

Perak mempunyai 59 kerusi DUN.

DUN Perak terdiri daripada 25 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) BN, DAP (15), Amanah (lima), BERSATU (empat), masing-masing tiga PAS, PKR dan PBM manakala satu Bebas.

Bagi negeri dikuasai Pakatan Harapan (PH) iaitu Pulau Pinang, Selangor dan Negeri Sembilan ia tidak akan dibubarkan.



Pengerusi PH, Datuk Seri Anwar Ibrahim, keputusan itu diambil bagi memastikan persiapan dibuat bagi menangani banjir di tiga negeri terbabit.

PAS juga tidak membubarkan DUN di tiga negeri ditadbirnya iaitu Kedah, Kelantan dan Terengganu. PAS berpendirian akan hanya membubarkan DUN pada hujung penggal semasa.

BHOnline




Discover more from My TV ONLINE

Subscribe to get the latest posts to your email.

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Discover more from My TV ONLINE

Subscribe now to keep reading and get access to the full archive.

Continue reading