Kasih tak kira kaum
Georgetown: Perbezaan kaum dan agama bukan halangan bagi Syahirah Khalid memilih jirannya berbangsa India, Tiwali Amgamah, 61, sebagai pengasuh kepada bayinya, Nur Adelia Raisya Mohd Hafeez.
Kisah Syahirah, 28, menarik perhatian warganet selepas memuat naik video di TikTok menunjukkan sisi manja anaknya dengan Tiwali atau mesra disapa Tiba.
Bercerita lanjut, Syahirah berkata, dia menetap di sebuah flat di sini bersama Nur Adelia Raisya atau dipanggil Lieya berumur tujuh bulan dan rakan serumah.
Manakala, suaminya, Mohd Hafeez Harun, 32, pula menetap bersama tiga anak mereka yang lain di Manjung, Perak.
Berikutan itu, Syahirah yang bertugas sebagai jururawat tiada pilihan melainkan mendapatkan pengasuh bagi menjaga anak bongsunya ketika dia bekerja.
“Saya pernah usaha cari pengasuh di kumpulan pengasuh Pulau Pinang dekat Facebook (Fb) dan ada juga minta bantuan kawan tetapi memang susah untuk dapatkannya.
“Kebanyakannya (pengasuh) enggan ambil anak jururawat kerana bekerja tiga syif dan pada awalnya, rakan serumah bantu jaga anak saya tetapi tidak lama kerana dia ada penyakit darah tinggi.
“Anak saya pula jenis mudah meragam dan sukar tidur malam.
“Sementara dapatkan pengasuh, saya hantar anak ke kampung tetapi tidak lama juga kerana emak diserang strok jadi ayah minta saya cari orang lain untuk menjaga Lieya,” katanya ketika dihubungi Harian Metro.
Menyedari keperluannya mencari pengasuh, salah seorang rakan mencadangkan Syahirah menghantar anaknya ke rumah Tiba.
Kebetulan, wanita itu adalah jirannya dan tinggal sendiri pada siang hari memandangkan anaknya bekerja jadi tiada halangan untuk menjadi pengasuh malah menawarkan diri untuk membantu.
“Saya tiada pengalaman hantar tiga anak lain kepada pengasuh jadi agak was-was juga pada awalnya dan cuba bincang dengan suami dahulu.
“Suami tiada halangan dan saya juga ada tanya beberapa dengan Tiba bagi mendapatkan kepastian sebelum nekad hantar anak rumahnya (Tiba).
“Hari pertama saja Lieya menangis. Masuk hari kedua dan berikutnya, dia tidak menangis lagi malah nampak Lieya selesa sangat dengan pengasuhnya itu,” katanya.
Syahirah berkata, Tiba bukan sekadar pengasuh malah sangat mengambil berat dengan keadaan Lieya.
“Nampak dia (Tiba) sayang sangat dengan anak saya kerana dulu Lieya pernah sakit dan Tiba yang hantarnya ke klinik.
“Hari saya tidak bekerja juga dia ada datang ke rumah bagi menjenguk Lieya malah pernah membawa anak saya itu pulang ke kampungnya di Sungai Petani,Kedah.
“Sebagai ibu kandung, saya tidak cemburu langsung kerana faham Lieya sudah lama dijaga oleh Tiba jadi tentunya manja dengan pengasuhnya itu,” katanya.
Berhubung video yang tular, Syahirah berkata, dia sekadar berkongsi kisahnya untuk suka-suka saja tetapi tidak sangka sambutannya di luar jangkaan.
“Banyak komen positif daripada yang negatif tetapi ada juga persoalkan saya kenapa tidak cari pengasuh Melayu.
“Bagi saya, tiada masalah selagi anak dijaga dengan baik. Lagipun, saya sendiri sudah ke rumah Tiba sebelum hantar anak situ.
“Rumahnya bukan saja bersih namun saya berasa Lieya selamat disitu kerana Tiba tidak memelihara anjing,” katanya.
METRO