Jurufoto bukukan kisah keluarga Whitaker yang agak menyeramkan
Kisah keluarga Whitaker yang menetap di kawasan pedalaman Odd, Virgina Barat, Amerika Syarikat benar-benar mengejutkan ramai pihak.
Mana tidaknya, ahli keluarga tersebut kebanyakannya dilahirkan dalam keadaan kurang upaya, malah cacat fizikal dan mental.
Menurut laporan portal Kompas yang memetik National Geographic Indonesia menyebut, keluarga malang yang terdiri daripada Lorraine, Ray, Timmy dan seorang lagi adik perempuan mereka dengan nama tidak dikenali itu dikatakan mengalami masalah mental.
Antara mereka, Ray dikatakan tidak pandai bercakap dan hanya mampu mendengus.
Kisah keluarga tersebut tular di media sosial apabila rata-rata ahlinya mengalami masalah kesihatan yang menyeramkan.
Kisah misteri keluarga tersebut pernah diceritakan dalam buku Created Equally yang dihasilkan jurufoto, Mark Laita.
Untuk menghasilkan foto tersebut, Laita menempuh pengalaman menyeramkan apabila disergah penduduk kampung dengan senapang.
Bukan sahaja berdepan ancaman, jurufoto tersebut juga diugut supaya meninggalkan kediaman keluarga Whitaker dengan kadar segera.
Pun demikian, selepas berbincang dengan baik bersama komuniti setempat, Laita dibenarkan untuk bertemu dengan keluarga tersebut.
Kompas yang juga memetik sumber dari The Sun juga memberitahu bahawa keluarga berkenaan hidup dengan hasil pertanian.
Namun, ia ibarat hidup kais pagi makan pagi, kais petang makan petang.
Genetik
Menurut Laita, mereka tinggal dalam kawasan yang terasing dan asal usul keluarga itu tidak diketahui secara mendalam.
Mungkin itu semua terjadi disebabkan masalah komunikasi yang terhad, sejarah dan susur galur keluarga yang penuh tanda tanya dan kekal tinggal misteri.
Selepas diselidik dan pemerhatian dibuat, Laita percaya kecacatan yang dialami ahli keluarga berkenaan disebabkan perkahwinan sedarah.
Mudah kata, ‘aktiviti’ sumbang mahram yang mereka amalkan di sana dikatakan sudah menjadi pola tradisi keluarga malang itu.
Di Virginia Barat, amalan seumpama itu dikatakan sering dilakukan apabila beberapa kes sama pernah dilaporkan di kawasan sama.
Natijahnya, wujudlah inbrida yang menyaksikan anak-anak yang dilahirkan mengalami kecacatan, genetik resesif, masalah jantung dan paru-paru.
Keluarga Whitaker misalnya, mereka hidup dengan penderitaan penyakit genetik tanpa sebarang rawatan perubatan.
Disebabkan keadaan kelainan upaya, ahli keluarga tersebut tidak mampu bekerja dan berdepan masalah kemiskinan akut.
Aduhai, seram juga melihat foto yang dikongsikan media sosial.