Juruteknik mengaku bersalah cederakan adik perempuan
KAJANG – Seorang juruteknik mengaku bersalah di Mahkamah Majistret di sini semalam atas pertuduhan mencederakan adik perempuannya dengan menumbuk muka dan lengan mangsa, Khamis lalu.
Tertuduh Muhamad Farhan Mat Sahid, 31, membuat pengakuan bersalah itu selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Majistret Syahrul Sazly Md. Sain.
Bagaimanapun, mahkamah menangguhkan hukuman terhadapnya sementara menunggu laporan perubatan mangsa.
Tertuduh kemudian dibenarkan diikat jamin RM1,500 dengan seorang penjamin dan tarikh 16 November ini ditetapkan bagi pembentangan fakta kes dan menjatuhkan hukuman.
Mengikut pertuduhan, Muhamad Farhan didakwa dengan sengaja menyebabkan kecederaan terhadap adik perempuannya Nadiah Husna, 24, dengan cara menumbuk muka dan kedua-dua lengannya.
Kesalahan itu didakwa dilakukan di sebuah rumah di Taman Rakan di sini pukul 11 malam pada 13 Oktober lalu.
Juruteknik itu didakwa mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara boleh sampai setahun atau penjara maksimum RM2,000 atau kedua-duanya.
Dalam prosiding hari ini, pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nurul Husna Amran manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
Pada 14 Oktober lalu, media melaporkan seorang lelaki tergamak memukul adik perempuannya sehingga cedera akibat berang bau asap masakan yang masuk ke dalam biliknya di kediaman mereka, di sini.
Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Mohd. Zaid Hassan berkata, pihaknya menerima laporan daripada mangsa iaitu wanita tempatan berusia 24 tahun pada hari yang sama kejadian berlaku.
Katanya, suspek berusia 31 tahun itu bertindak demikian kerana biliknya berasa bahang atas tindakan adiknya yang sedang memasak ketika itu.
Menurut polis, pergaduhan terjadi ketika mangsa sedang memasak di dapur sehingga bau dan asap masakan masuk ke bilik suspek menyebabkan biliknya berasa bahang.
“Ekoran itu, suspek telah keluar dari bilik dan menunjukkan protes dengan cara menutup pintu secara kuat sambil memaki hamun mangsa selain bertindak menarik rambut, menumbuk dan menampar di bahagian muka pengadu” kata polis.
Susulan itu, mangsa telah mendapatkan rawatan di hospital dan disahkan mengalami kecederaan serta patah gigi hadapan akibat ditumbuk.
© Utusan Online