Liew Chin Tong dakwa BN cipta naratif dakwa mengundi buang masa
KUALA LUMPUR – Timbalan Setiausaha Agung DAP, Liew Chin Tong mendakwa Barisan Nasional (BN) cuba mencipta nararif ‘mengundi itu membuang masa’, ‘tiada guna kita keluar mengundi’ dan ‘tiada harapan lagi untuk Malaysia’.
Beliau mendakwa, BN mencipta naratif negatif tersebut untuk tidak menggalakkan rakyat untuk keluar mengundi pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).
Ahli Dewan Negeri Johor (ADUN) Perling iu berkata, suara yang mengajak supaya rakyat tidak keluar mengundi bermula sejak Pilihan Raya Negeri Sarawak pada Mei 2016 dan dua pilihan raya kecil tahun sama.
Kesemua pilihan raya itu menyaksikan kekalahan terhadap Pakatan Harapan (PH).
“Setelah pilihan raya negeri Sarawak pada Mei 2016 serta pilihan raya kecil Sungai Besar dan Kuala Kangsar pada Jun tahun yang sama, muncul suara-suara mengajak rakyat jangan mengundi, kononnya “undi tidak bermakna” dan “kedua-dua pihak sama sahaja”.
“BN sedar ia hanya mampu meraih undi penyokong tegarnya. Itu tidak cukup untuk menang. Ia sedar majoriti pengundi atas pagar masih tidak bersamanya.
“Kerana itulah BN mencipta naratif “mengundi itu membuang masa’, ‘tiada guna kita keluar mengundi’ dan ‘tiada harapan lagi untuk Malaysia’. Semua mesej negatif hanya bertujuan untuk menggalakkan rakyat supaya tidak keluar mengundi,” kata Chin Tong.
Pengerusi DAP Johor itu mendakwa, BN menyedari sekiranya pengundi atas pasar tidak mengundi PH maka parti itu berpeluang untuk menang.
Sedangkan menurut beliau, pengundi tegar BN akan keluar mengundi parti itu sementara pengundi atas pagar yang disifatkan sebagai bakal pengundi PH hanya duduk di rumah kerana terpedaya dengan naratif BN.
“BN sedar jika pengundi atas pagar yang berhasrat mengundi PH tidak keluar mengundi kerana dipengaruhi naratif kecewa, ia membuka peluang kepada BN untuk menang besar walaupun kadar mengundi berkurangan.
“Ini adalah kerana hanya penyokong tegar BN akan keluar mengundi sedangkan bakal pengundi PH duduk di rumah atau makan angin sahaja pada hari mengundi kerana terpedaya dengan kempen BN,” kata Chin Tong.
Untuk rekod beberapa pilihan raya negeri iaitu Sabah, Melaka dan Johor mencatatkan peratusan keluar mengundi yang rendah.
Ketiga-tiga pilihan raya tersebut menyaksikan PH tewas dan mencatatkan rekod yang buruk selepas banyak kerusi yang disandang parti itu dimenangi semula oleh BN.