Hafizuddin mahu akhiri kemarau Piala Sultan Azlan Shah

KUALA TERENGGANU: Penjaga gol berpengalaman skuad hoki negara, Muhammad Hafizuddin Othman tidak rela misi peribadinya untuk merangkul Piala Sultan Azlan Shah yang dijadualkan bermula 1 hingga 10 November depan di Stadium Hoki Sultan Azlan Shah, Ipoh, berkecai.

Pemain Pasukan Hoki Terengganu (THT) itu juga tidak rela impian pasukan negara untuk memburu trofi buat kali pertama dalam sejarah penganjuran kejohanan yang bermula tahun 1983 itu ‘diragut’ negara lain.

Justeru pemain berusia 30 kelahiran Kuala Terengganu itu tekad untuk menggunakan pengalaman yang ada dalam kejohanan edisi ke-29 itu bagi memastikan impian untuk mencipta sejarah itu tercapai.



Pada masa sama penjaga gol itu juga menuntut rakan sepasukannya supaya memperagakan aksi terbaik dan bertenaga sepanjang kejohanan itu yang turut disertai lima lagi negara – Jepun, Pakistan, Mesir, Afrika Selatan dan Korea Selatan.

“Secara peribadi saya begitu dahagakan untuk merangkul trofi itu (Piala Sultan Azlan Shah) lebih-lebih lagi beraksi di bumi sendiri kerana sejak kejohanan ini dipertandingkan, pasukan negara belum lagi berjaya melakar gelaran itu.

“Jadi kebetulan ranking lima lagi negara yang menyertai kejohanan kali ini berada di bawah pasukan negara, saya meletakkan impian yang tinggi kami mampu melakukan kejutan untuk cipta sejarah kali pertama merangkul gelaran itu.

“Saya harap kami mampu memperagakan aksi dengan sebaik mungkin lebih-lebih lagi beraksi di bumi sendiri walaupun sedar pasukan lawan juga tidak kurang hebatnya terutama Korea Selatan, Jepun dan Pakistan,” katanya.



Dalam pada itu, Hafizuddin mengakui bukan laluan mudah buatnya untuk memburu tempat dalam kesebelasan utama pasukan kerana dua lagi pencabarnya, Adrian Andy Albert dan Muhamad Zaimi Mat Deris juga mempunyai kelebihan tersendiri.

“Dalam sukan persaingan sihat itu penting untuk kami tingkatkan lagi prestasi, oleh sebab itu tiada istilah penjaga gol nombor satu, sebaliknya semua pemain mempunyai kekuatan dan kelebihannya yang tersendiri.

“Apa yang penting, rajin berusaha dan gigih menjalani latihan, selebihnya kita serahkan kepada barisan kejurulatihan untuk menilai siapa yang berhak berada di pintu gol,” katanya.

Menariknya kejohanan pada kali ini bakal menawarkan pungutan mata ranking dunia selepas tertangguh selama dua tahun berikutan wabak pandemik COVID-19.



Berdasarkan jadual perlawanan, skuad negara bakal berdepan ujian getir bertemu juara bertahan, Korea Selatan pada aksi pertama 1 November depan sebelum bertembung dengan Pakistan sehari kemudian.

Berdasarkan rekod, pencapaian terbaik Malaysian Tigers adalah muncul naib juara sebanyak lima kali, edisi terakhir pada tahun 2019 menyaksikan skuad negara meraih tempat ketiga selepas menewaskan Kanada 4-2.

BHOnline




Discover more from My TV ONLINE

Subscribe to get the latest posts to your email.

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Discover more from My TV ONLINE

Subscribe now to keep reading and get access to the full archive.

Continue reading