JPJ kutip RM3.26 juta bidaan nombor pendaftaran DEN
KOTA BHARU: Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Kelantan mencatatkan kutipan RM3.26 juta hasil pendaftaran siri DEN dengan DEN 8 merekodkan bidaan tertinggi bernilai RM98,888.
Selain itu, paling banyak dibida membabitkan siri DEN 1305 dengan harga tertinggi RM6,200 membabitkan 20 pembida.
Bidaan yang dibuat menerusi JPJeBid itu dilakukan selama lima hari bermula 13 hingga 17 Oktober lalu.
Pengarahnya, Mohd Misuari Abdullah, berkata pihaknya menyasarkan kutipan hasil siri pendaftaran DEN sebanyak RM2.6 juta namun selepas bidaan ditutup.
“Bilangan pengguna berdaftar dengan JPJeBid adalah seramai 938,751 dengan jumlah keseluruhan pembida adalah 4,473.
“Harga bidaan tertinggi adalah RM98,888 untuk siri DEN 8 diikuti RM71,000 bagi nombor DEN 6 dan DEN 3 (RM68,889).
“Paling banyak dibida adalah DEN 1305 dengan harga tertinggi adalah RM6,200 membabitkan 20 pembida,” katanya menerusi satu kenyataan media di sini, hari ini.
Mohd Misuari berkata, mana-mana nombor pendaftaran yang berjaya dibida mestilah didaftarkan pada sebuah kenderaan dalam tempoh 12 bulan dari tarikh surat tawaran yang dikeluarkan di pejabat JPJ negeri atau cawangan.
Katanya, orang awam yang berminat untuk mendapatkan baki nombor pendaftaran itu boleh berurusan di Pejabat JPJ negeri atau cawangan selain disarankan untuk memiliki ID mySIKAP awam bagi mendapatkan senarai nombor semasa yang masih belum didaftarkan lagi dan seterusnya membeli secara atas talian.
“Baki nombor pendaftaran yang tidak dibida akan dibuka kepada umum untuk dibeli orang awam mengikut harga minimum yang ditetapkan.
“Bagi nombor bernilai utama (golden number), harga bayaran yang ditawarkan adalah RM20,000 manakala nombor menarik untuk dua digit pula RM3,000 dan RM2,500 bagi tiga digit.
“Sepanjang tempoh perlaksanaan sistem JPJeBID diperkenalkan bermula dengan siri DDP hingga DEM, jumlah kutipan hasil JPJ Kelantan adalah sebanyak RM40,147,112,” katanya.
BHOnline