Man United atasi Spurs di Old Trafford
MANCHESTER: Erik ten Hag memuji persembahan terbaik Manchester United yang menewaskan Tottenham Hotspur 2-0 di Old Trafford.
Fred dan Bruno Fernandes menjaringkan gol di babak kedua untuk merapatkan jurang United dengan kelompok empat teratas kepada hanya satu mata.
Hanya aksi cemerlang penjaga gol Spurs, Hugo Lloris berjaya memastikan pasukan kendalian Antonio Conte itu tidak dibelasah teruk.
Bagaimanapun harapan Spurs untuk memburu gelaran liga pertama sejak tahun 1961 kini mula diragui selepas kekalahan kepada anak buah Ten Hag.
“Ia adalah persembahan terbaik pasukan musim ini. Anda lihat kami sedang berkembang, tetapi anda dapat lihat pada minggu-minggu sebelumnya bagaimana kami mahu bermain.
“Kami menjadi semakin baik. Menentang Spurs, bagi saya sebuah pasukan yang hebat, ia amat menarik untuk ditonton,” kata Ten Hag.
Satu-satunya pemandangan yang kurang menyenangkan buat Ten Hag ialah ketika Cristiano Ronaldo menuju ke bilik persalinan sebelum perlawanan berakhir selepas dia tidak dimasukkan sebagai pemain gantian.
Selepas beraksi cemerlang di babak pertama – menafikan 19 percubaan tepat – Lloris akhirnya tewas dengan rembatan Fred dari luar kotak penalti ketika babak kedua baru berlangsung dua minit.
Fernandes yang belum menjaringkan gol untuk kelab sejak Ogos, memastikan kemenangan United ketika permainan berbaki 21 minit.
Selepas seri di Chelsea dan tewas kepada Arsenal, Conte berkata Spurs kini perlu bekerja keras untuk bersaing merebut kejuaraan.
Ia adalah permulaan Liga Perdana Inggeris terbaik Spurs selepas mengumpul 23 mata daripada 10 perlawanan musim ini.
“Ia bukan perlawanan yang baik buat kami. Jujur saya katakan, ini bukan kali pertama untuk kami musim ini.
“Kedudukan kami baik, tetapi setiap kami bermain dalam perlawanan besar, kami bergelut. Menentang Chelsea, kami menyamakan kedudukan di akhir permainan, tewas di Arsenal dan kepada United,” kata Conte.
AFP