Akhirnya Anwar buktikan beliau ‘pengecut’
Tidak berani lawan Azmin
Oleh – Ku Zairi Ku Kamal
Akhirnya, Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim telah berjaya membuktikan beliau sebenarnya seorang ‘pengecut’ bila memilih P063 Tambun.
Beliau membuat pengumuman tersebut malam tadi di Ipoh. Ternyata ucapan bersemangat Anwar di hadapan penyokong beliau semasa berkempen di Gombak hanyalah drama.
Dalam satu ucapan Anwar, beliau berkata akan menghukum pengkhianat parti dan akan menghumban mereka ini dari kerusi yang disandang.
Desas-desus awal Anwar akan tinggalkan kerusi Port Dickson telah kedengaran sejak akhir tahun lepas. Bagaimanapun di mana beliau akan bertanding masih kabur ketika itu. Farhash Wafa Salvador merupakan individu pertama menawarkan kerusi P063 Tambun kepada Anwar kerana yakin boleh dirampas dari PPBM.
Kemudian heboh pula konon Anwar akan bertanding Parlimen Bandar Tun Razak dan bertukar pula ke Gombak selepas menyatakan akan menghukum pengkhianat PKR.
KALAH TAMBUN, ANWAR AKAN BERSARA POLITIK?
Kerusi P063 Tambun sebelum PRU14 merupakan kerusi Barisan Nasional selama 7 penggal.
Dirampas Pakatan Harapan menerusi Ahmad Faizal Azumu dengan catatan undi sebanyak 38,661 menewaskan calon BN dan PAS.
Memperolehi majoriti sebanyak 5,320, Faizal Azumu atau ‘Peja’ kemudian telah dilantik menjadi YAB Menteri Besar Perak selepas menang kerusi DUN Perak dalam Pilihanraya Ke-14.
Pada 2018, jumlah pengundi berdaftar P063 Tambun seramai 107,763 orang, namun pada 2022 pertambahan pengundi menunjukkan peningkatan besar. Mencatat sebanyak 159,612 pengundi berdaftar, Faizal Azumu dijangkakan akan berdepan halangan dari pengundi tegar DAP di Tambun.
MANJOI & HULU KINTA TIDAK LAGI BERI UNDI KEPADA ‘PEJA’?
Dengan 2 kerusi DUN didalam Parlimen Tambun – N23 Manjoi, N24 Hulu Kinta, Anwar kini mempunyai kelebihan pengaruh terhadap pengundi DAP dan Pakatan Harapan berbanding Faizal Azumu.
Catatan pecahan pengundi mengikut kaum pada 2018, meletakkan Kaum Melayu di tempat pertama dengan catatan 68.40%, diikuti Cina 18.54%, India 11.5% dan lain-lain 2.04%.
Dipercayai, kaum Cina dan India akan memberi sokongan padu kepada Anwar di Tambun manaka Melayu mengambil sikap ‘tunggu dan lihat’ siapa lawan Anwar.