Aston Villa pecat Gerrard

LONDON: Steven Gerrard dipecat sebagai pengendali Aston Villa selepas skuadnya tewas 3-0 di Fulham.

Villa bermula hambar dalam saingan Liga Perdana Inggeris musim ini apabila hanya berada satu anak tangga di atas zon penyingkiran.

Villa hanya menang dua daripada 11 perlawanan liga musim ini dan kekalahan di Craven Cottage menyaksikan Gerrard dipecat kurang dua jam selepas perlawanan itu.



Gerrard yang mula membimbing Villa 11 bulan lalu belum menang dalam empat perlawanan terakhir mereka.

“Aston Villa Football Club boleh mengesahkan yang ketua jurulatih Steven Gerrard sudah meninggalkan kelab dengan serta merta.

“Kami ingin mengucapkan terima kasih kepada Steven di atas usaha dan komitmennya serta mengucapkan selamat maju jaya untuk masa depannya,” kata kelab itu dalam satu kenyataan.

Gerrard membimbing Villa untuk kedudukan ke-14 liga musim lalu selepas tiba dari Rangers bagi menggantikan Dean Smith.



Bekas bintang Liverpool dan England itu diharap mampu melonjak Villa ke kedudukan lebih tinggi musim ini, tetapi sebaliknya mereka bergelut dengan penyingkiran.

Gerrard memenangi gelaran liga Scotland bersama Rangers pada tahun 2021, menamatkan penguasaan Celtic buat sekian lama.

Selepas perlawanan menentang Fulham, Gerrard berkata dia akan cuba menyelamatkan jawatannya.

“Saya seorang pejuang, saya tidak akan berputus asa sama ada dalam bola sepak atau kehidupan. Saya akan terus berjuang kecuali diberitahu sebaliknya,” kata Gerrard.



Namun hanya beberapa minit selepas bercakap dengan media, Villa mengumumkan pemecatannya.

Gerrard hanya memenangi 13 daripada 40 perlawanan bersama Villa, tewas 19 daripadanya.

Ia adalah tamparan hebat terhadap kariernya sebagai pengendali selepas legenda Liverpool itu dikatakan antara calon menggantikan bos The Reds sekarang, Jurgen Klopp.

AFP



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button