Azroy, Kasma Daniel gagal lakukan catatan masa terbaik
Sepang: Dua pelumba wild card negara dalam kelas Moto2, Kasma Daniel Kasmayudin dan Azroy Hakeem Anuar tidak dapat melakukan catatan masa yang baik pada dua sesi latihan bebas Petronas Grand Prix (GP) Motosikal Malaysia, hari ini.
Berlangsung di Litar Antarabangsa Sepang (SIC), Azroy yang kali pertama tampil pada kejohanan berprestij itu menamatkan sesi latihan bebas pertama di kedudukan ke-30 dengan melakukan catatan sepusingan terpantas 2 minit 11.216 saat (s).
Manakala nasib lebih sukar untuk Kasma apabila tidak dapat beraksi pada sesi latihan pertama.
Augusto Fernandez dari pasukan Red Bull KTM Ajo mengungguli sesi latihan bebas pertama dengan catatan 2:06.816s.
Pada sesi latihan bebas kedua, Azroy menduduki tempat ke-26 dengan catatan masa 2:12.020s manakala Kasma di kedudukan ke-27 dengan catatan 2:12.071s.
Pelumba Yamaha VR46 Master Team, Manuel Gonzales mengungguli sesi latihan bebas kedua selepas melakukan catatan 2:07.879s.
Sementara itu, pelumba Moto3 negara, Syarifuddin Azman yang turut beraksi menerusi tiket wild card bersama pasukan Vision Track Racing mencatatkan masa ke-10 terpantas pada sesi latihan bersama iaitu 2:13.448s.
Namun prestasinya merundum di sesi latihan kedua apabila mencatatkan masa 2:14.941s untuk menduduki tempat ke-27.
METRO