Inilah `wira’ masyarakat…
Melaka: Pujian wajar diberikan apabila dua anggota polis Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Melaka Tengah sanggup bermandi peluh membantu dua wanita yang mengalami kerosakan kereta.
Kejadian jam 7 pagi semalam, berlaku di Lebuh Ayer Keroh di sini, apabila kereta Perodua Myvi dipandu seorang wanita dan ditemani ibunya berdepan masalah enjin.
Bagaimanapun anggota polis, Sarjan Mohamad Hamdi Md Salleh, 37, bersama Lans Koperal Azlan Mohamad, 32, dari Cawangan Kereta Peronda Bahagian Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti bertindak menghulurkan bantuan walaupun mereka dalam perjalanan penugasan di A’Famosa, Alor Gajah.
Mohamad Hamdi berkata, ketika melalui lebuh berkenaan untuk ke Plaza Tol Ayer Keroh, mereka mendapati kesesakan trafik luar biasa sebelum menyedari sebuah kereta berhenti di tengah jalan.
“Bagi mengelak kesesakan lebih teruk berlaku, kami mengambil keputusan menolak kereta itu ke bahu kiri jalan.
“Wanita itu memberitahu keretanya mengalami masalah pendawaian dan tidak boleh dihidupkan. Selepas memastikan keadaan selamat dan menghubungi mekanik, kami menyambung semula tugas,” katanya dihubungi Harian Metro.
Katanya, dia menolak kereta itu manakala Azlan mengiring dari belakang dengan memandu kereta peronda.
Sementara itu, gambar anggota terbabit memberi bantuan kepada pengguna jalan raya yang dikongsikan di Facebook (FB) IPD Melaka Tengah menerima pujian warganet yang menyifatkan tindakan itu membuktikan slogan Sang Saka Biru.
“Sungguh mulia hati anggota dari unit MPV Polis Melaka Tengah kerana sudi membantu menolak kenderaan orang awam. Polis dan masyarakat berpisah tiada.” kongsi seorang pelayar FB, Hatimin Ttr
“Amalan mulia tu fardhu kifayah…” kongsi Sujaee Assan.
METRO