Lelaki mengembara untuk Piala Dunia 2022, dilaporkan hilang

Erbil: Seorang lelaki yang mengembara dari Madrid, Sepanyol ke Qatar yang hilang selepas melalui kawasan Kurdistan, Iraq dikhuatiri ditahan di Iran.

Peminat bola sepak, Santiago Sanchez Cogedor, 40, sedang melintasi wilayah Kurdistan Iraq sebagai sebahagian daripada misi kembaranya sempena Kejohanan Piala Dunia 2022.

Seorang rakan baiknya, Miguel Bergado berkata, kali terakhir dia bercakap dengan Cogedor lebih dua minggu lalu.



“Kali terakhir saya bercakap dengannya ialah pada 1 Oktober lalu.

“Dia menghantar lokasinya kepada saya dan dia berada di Kurdistan, Iraq, lima kilometer dari sempadan Iran,” katanya kepada akhbar Sepanyol, El Mundo.

Bergado berkata, dia bimbang nasib dan keselamatan rakannya itu.

“Perasaan saya ialah kerana isu politik mereka boleh menahannya di Iran kerana dia orang asing.



“Kedutaan Sepanyol di Iran mengatakan ada yang ditahan kerana mengambil gambar pergolakan dan mungkin itu juga puncanya,” katanya.

Cogedor yang meninggalkan pasukan tentera untuk mencuba nasib dalam bidang tinju sebelum menjadi jurulatih, memilih memasuki Iran selepas memutuskan untuk tidak cuba masuk melalui Arab Saudi.

Catatan terakhirnya di Instagram pada 1 Oktober lalu memaklumkan, dia berada di kampung terakhir di utara Iraq.

“Sebuah gunung memisahkan saya dari Iran yang juga negara seterusnya (akan dilalui) sebelum saya sampai ke Qatar.



“Ramai penduduk yang bertemu sepanjang kembara ini mengetahui tentang misi saya.

“Saya juga sempat bermain bola sepak bersama kanak-kanak,” katanya.

Cogedo memulakan misi kembara berjalan kaki dari Alcala de Henares, Madrid pada 8 Januari dan dijangka tiba di Qatar pada awal November ini.

Dia berharap dapat bertemu beberapa pemain antarabangsa Sepanyol apabila kejohanan itu bermula nanti.



Malah, dia juga akan mengutip sampah di sepanjang pengembaraannya itu.

Iran digemparkan dengan pergolakan berikutan kematian seorang wanita berusia 22 tahun dalam tahanan polis dengan negara itu bertindak kejam terhadap rusuhan yang melanda negara itu.

METRO



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button