Polis cari penunggang motosikal langgar penunggang basikal
Serdang: Polis sedang mengesan penunggang motosikal yang melanggar penunggang basikal di Jalan Putra Permai berhampiran stesen Transit Aliran Massa (MRT) Putra Permai, di sini, kelmarin.
Ketua Polis Daerah Serdang, Asisten Komisioner AA Anbalagan berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu, 3.47 petang, semalam.
“Kemalangan itu dipercayai berlaku apabila penunggang basikal iaitu lelaki berusia 36 tahun datang dari arah Equine menghala ke Putrajaya di laluan berkenaan.
“Sebaik tiba di lokasi kejadian, penunggang basikal itu yang berada di lorong kanan didapati cuba menukar ke lorong kiri.
“Namun secara tiba-tiba, datang sebuah motosikal dan terlanggar basikal berkenaan dari arah belakang menyebabkan penunggang basikal itu jatuh pada permukaan jalan dan mengalami cedera ringan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Anbalagan berkata, ketika kejadian, kenderaan di lokasi kemalangan bergerak perlahan disebabkan faktor kesesakan.
“Penunggang motosikal masih belum membuat laporan dan usaha mengesannya masih diteruskan dengan siasatan lanjut sedang dijalankan.
“Kes itu disiasat mengikut Peraturan 10 Kaedah-Kaedah Lalulintas Jalan 1959 (Rule 10 LN 166/59),” katanya.
Video berdurasi 36 saat menunjukkan penunggang basikal dilanggar motosikal di lokasi berkenaan tular di media sosial, hari ini.
METRO