Azizulhasni Awang dilantik sebagai Duta Gardenia

KUALA LUMPUR – Jaguh berbasikal trek negara, Datuk Azizulhasni Awang menyifatkan pelantikannya sebagai duta Gardenia Breakthru sebagai satu tanggungjawab besar dalam usaha mendidik masyarakat di Malaysia bagi mengamalkan gaya hidup sihat.

Pemenang pingat perak Sukan Olimpik Tokyo 2020 itu, berkata masyarakat di negara ini memerlukan satu ikon yang boleh dijadikan contoh terutama golongan muda untuk mereka menjalani kehidupan yang lebih sihat termasuklah dari aspek pemakanan.

“Tanggungjawab sebagai duta atau ikon besar kerana ia bukan hanya untuk kerja atau nama saja tetapi ia mengenai giving back (memberi semula) kepada komuniti.



“Dalam masyarakat kita ini penting untuk ada ikon dan contoh untuk menjadi ikutan terutama dalam menerapkan pembudayaan yang baharu dan sihat.

“Kita mahu memupuk masyarakat mengenai pemakanan yang sihat bermula dengan Gardenia Breakthru ini,” katanya ketika sidang media Majlis Pelancaran Gardenia Breakthru di sini, hari ini.

Gardenia Bakeries (KL) Sdn Bhd melancarkan roti gandum penuh dan roti mil penuh dengan gandum ungu Kanada dalam penjenamaan semula di bawah Gardenia Breakthru dengan Azizulhasni yang berusia 34 tahun pula dilantik sebagai duta produk berkenaan.

Sementara itu, Pengurus Pemasaran Gardenia Bakeries, Ena Suhaila Abas, berkata pemilihan ‘The Pocket Rocketman’ sebagai duta dibuat berdasarkan semangat juang tinggi dan sikap tidak mudah berputus asa ditunjukkannya sekali gus menepati tagline produk berkenaan ‘Mengatasi setiap halangan’.



Katanya, Azizulhasni adalah duta pertama yang dilantik oleh syarikat terbabit dengan tujuan untuk mendidik masyarakat supaya mencontohi ikon mereka dalam mengamalkan pemakanan sihat.

“Azizul menunjukkan amalan kehidupan yang cukup baik dan tidak pernah berputus asa selain semangat juga juga tinggi terutama apabila beliau berdepan musibah.

“Oleh itu, kriteria yang dimiliki Azizul menjadikan beliau calon tepat untuk mencerminkan nilai-nilai Gardenia Breakthru,” katanya.

© Berita Harian 



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button