Anggota polis bantuan ditembak ketika menunggang motosikal
KOTA BHARU: Seorang anggota polis bantuan cedera akibat ditembak oleh individu tidak dikenali ketika menunggang motosikal di Kampung Aur Tebing, Salor, di sini, malam tadi.
Mangsa, Kamarul Fadzreen Kamaruzaman, 30, yang juga Ahlis Jawatankuasa (AJK) Pemuda UMNO Ketereh, terkena tembakan pada dada kanan dan kini mendapat rawatan di Hospital Raja Perempuan Zainab (HRPZ) II, Kota Bharu.
Adik ipar mangsa, Shazwan Sazali, 33, ketika dihubungi berkata, dia sekeluarga mengetahui mengenai kejadian yang menimpa abang iparnya pada jam 11 malam tadi, selepas dihubungi oleh kawan baik mangsa yang juga rakan setugas.
“Mangsa ada memberitahu untuk keluar berjumpa rakannya di Kota Bharu dengan menunggang motosikal sendirian. Ketika dalam perjalanan dia tiba-tiba ditembak oleh individu yang tidak dikenali.
“Bagaimanapun, dia masih menunggang motosikal sejauh 100 meter menuju ke sebuah kedai makan berdekatan untuk meminta bantuan. Sebaik tiba, dia juga sempat menelefon rakan baiknya supaya datang ke kedai terbabit.
“Abang kemudian dibawa ke Hospital Pasir Mas (HPM) sebelum dipindahkan ke HRPZ II untuk menjalani pembedahan,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Shazwan berkata, abang iparnya yang juga bapa kepada dua cahaya mata adalah seorang yang sangat baik dan peramah selain tidak mempunyai musuh.
“Sejujurnya, kami sekeluarga tidak tahu apa motif utama abang ipar saya ditembak.
“Kami sekeluarga terkejut dengan apa yang terjadi serta berdoa semoga dia terus kuat dan berharap agar pembedahan berjalan dengan lancar,” katanya.
BHOnline