Casemiro bantu Man United ikat Chelsea

LONDON: Erik ten Hag memuji semangat Manchester United selepas Casemiro meledak gol sulungnya untuk kelab bagi mengikat Chelsea 1-1 di Stamford Bridge.

Skuad kendalian Ten Hag hampir berputih mata selepas Jorginho menyempurnakan penalti minit ke-87 untuk meletakkan tuan rumah di depan.

Bagaimanapun bekas pemain tengah Real Madrid, Casemiro memastikan United meneruskan deretan tanpa kalah kepada enam perlawanan dengan menanduk masuk gol penyamaan dalam masa kecederaan.



“Saya perlu memuji pasukan saya. Bangkit pada perlawanan keempat dalam tempoh 10 hari, anda dapat melihat semangat juang dan bagaimana mereka menangani situasi. Sangat baik.

“Kami mengawal permainan dan saya gembira dengannya. Jika dibolosi lewat permainan amat sukar. Ia keputusan yang adil,” kata Ten Hag.

Cristiano Ronaldo tidak tersenarai untuk kunjungan ke Stamford Bridge selepas digugurkan oleh Ten Hag kerana enggan masuk sebagai pemain gantian ketika kemenangan ke atas Tottenham Hotspur.

Tanpa Ronaldo, United masih menunjukkan penguasaan dalam aksi di Stamford Bridge. Keputusan seri itu mengekalkan United di tangga kelima, satu mata di belakang Chelsea yang menghuni tangga keempat.



Chelsea pula masih belum tewas dalam lapan perlawanan di bawah kendalian Graham Potter sejak pengendali itu menggantikan Thomas Tuchel.

“Ia mengecewakan kerana kami 1-0 di depan di hujung permainan tetapi satu mata adalah keputusan yang adil kerana saya tidak pasti kami cukup berusaha untuk memenanginya.

“Permainan kami bertambah baik selepas 30 minit, jadi saya terima keputusan ini,” kata Potter.

Bagi United pula, kecederaan bek tengah, Raphael Varane di babak kedua, sedikit merisaukan.



“Kami perlu menunggu 24 jam dan kemudian baru kami akan mengetahui keadaannya,” kata Ten Hag berkenaan kecederaan Varane.

AFP

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button