Beratur dua jam lebih awal nak beli telur
KUALA TERENGGANU: “Setiap hari, jam 6.30 pagi saya sudah ada di sini untuk beli telur ayam,” kata Muhammad Izzul Hakim Aziz, 19.
Pemuda dari Kampung Banggol Katong, Bukit Payung, Marang ketika ditemui di sebuah syarikat pemborong telur ayam berhampiran Pasar ChabangTiga, di sini hari ini, berkata dia memerlukan telur ayam dalam kuantiti banyak setiap hari untuk dihantar kepada pelanggan.
“Saya membekalkan telur ayam untuk hotel, beberapa restoran dan kedai makan sekitar bandar ini dan Marang. Jadi, saya perlu datang awal kerana jika terlewat, tidak akan dapat jumlah telur yang diperlukan,” katanya.
Peniaga kuih, Asmahani Kadir, 29, dari Kampung Bukit Besar, di sini, pula mengakui sanggup beratur panjang setiap hari untuk mendapatkan bekalan telur, antara bahan utama diperlukan untuk membuat kuih-muih seperti baulu dan kuih tradisional lain.
“Kalau tak dapat datang sendiri, saya minta bantuan adik beradik atau upah orang datang beratur. Sejak krisis bekalan telur di sini, perniagaan saya juga terjejas kerana pernah terputus bekalan,” katanya.
Tinjauan mendapati perkarangan premis berkenaan sudah dipenuhi orang ramai yang beratur seawal jam 7 pagi walaupun urus niaga hanya bermula dua jam kemudian.
Pengurus syarikat berkenaan, Nursyzanil Adha Ramli, 39, berkata syarikatnya menerima 5,000 papan telur ayam pelbagai gred setiap hari, namun masih tidak mencukupi berikutan permintaan sangat tinggi berbanding sebelum ini.
Dia yang sudah menjalankan perniagaan itu sejak lebih 10 tahun lalu, sebelum krisis telur, sebilangan besar pelanggan adalah peniaga dan pembekal telur kecil-kecilan, tetapi kini terdiri daripada semua golongan pengguna.
Berikutan itu, katanya, dia terpaksa mengehadkan pembelian, iaitu setiap individu hanya dibenarkan membeli lima papan telur dengan setiap papan mengandungi 30 biji bagi memastikan semua pelanggan dapat membeli.
“Kaedah ini saya guna sejak minggu lalu. Sebelum ini tiada had pembelian menyebabkan ramai pelanggan yang tidak dapat membeli kerana telur habis selepas beratur panjang tidak puas hati dan kecewa yang boleh mencetuskan kekecohan.
“Pelanggan lama yang sudah bertahun-tahun mengambil telur ayam dengan saya pun terpaksa saya kurangkan jumlah pesanan. Kalau tidak hadkan pembelian, dalam tempoh satu jam lebih sudah habis dijual. Bila saya hadkan, ia habis dalam tempoh tiga jam,” katanya.
Dia yang mesra dengan panggilan Kak Sya di kalangan pelanggan berkata, harga yang dikenakan berdasarkan harga kawalan mengikut gred.
“Sebelum ini saya jual ikut harga borong, tetapi disebabkan pengeluar mengenakan caj 30 sen bagi setiap papan telur, saya terpaksa jual mengikut harga kawalan, jika tidak saya rugi,” katanya.
BHOnline