Nasib Barcelona bagai telur dihujung tanduk

BARCELONA: Peluang Barcelona mara ke pusingan kalah mati Liga Juara-Juara Eropah semakin tipis dan mungkin terus tertutup menjelang pertemuan dengan Bayern Munich di Nou Camp, di sini, awal pagi Khamis ini waktu Malaysia.

Skuad Catalan itu kini di tangga ketiga Kumpulan C, tiga mata di belakang Inter Milan, yang mampu layak sekiranya menewaskan Viktoria Plzen pada perlawanan lebih awal, manakala Bayern mendahului dengan 12 mata, selepas memenangi keempat-empat perlawanan.

Barcelona kini mengumpul 28 mata daripada 11 perlawanan La Liga musim ini selepas menewaskan Athletic Bilbao 4-0 Ahad lalu, dengan Ousmane Dembele, Sergi Roberto, Robert Lewandowski dan Ferran Torres menjaringkan gol.



Bagaimanapun kekecewaan dalam saingan Liga Juara-Juara Eropah tidak dapat disembunyikan apabila Barcelona hanya mengutip empat mata daripada empat perlawanan.

Harapan Barca untuk layak ke kelompok 16 terakhir akan berkubur sekiranya Inter menewaskan Viktoria Plzen pada perlawanan sebelumnya, dan skuad kendalian Xavi Hernandez hanya akan melengkapkan saingan bertemu Bayern.

Bagi mengelak daripada tercicir ke Liga Europa untuk musim kedua berturut-turut, Barca perlu menewaskan Bayern sambil mengharapkan Plzen menundukkan Inter.

Penguasaan Bayern di peringkat kumpulan tidak mengejutkan berdasarkan kualiti yang mereka ada. Mereka meledak 13 kali dan hanya dua kali dibolosi dalam empat kemenangan itu.



Skuad kendalian Julian Nagelsmann menewaskan Inter 2-0 dan Barcelona 2-0 pada dua perlawanan pertama sebelum dua kemenangan ke atas Plzen, 5-0 di laman sendiri dan 4-2 di laman lawan.

Gergasi Munich itu sudah memenangi Kejuaraan Eropah sebanyak enam kali, tetapi musim lalu mereka disingkirkan Villarreal pada aksi suku akhir, dan gagal mara ke separuh akhir musim sebelumnya apabila tewas kepada Paris Saint-Germain menerusi kelebihan gol di tempat lawan.

Bayern belum pernah tewas kepada Barcelona sejak separuh akhir Liga Juara-Juara Eropah 2014-15.

Mereka akan mengesahkan kedudukan sebagai juara kumpulan sekiranya menang di Nou Camp, dan ia mampu disahkan lebih awal sekiranya Inter gagal menewaskan Plzen.



Barisan kemungkinan Barcelona – Ter Stegen, Bellerin, Kounde, E Garcia, Alonso, De Jong, Busquets, Pedri, Dembele, Lewandowski, Gavi

Barisan kemungkinan Bayern Munich – Ulreich, Pavard, Upamecano, De Ligt, Davies, Kimmich, Goretzka, Coman, Musiala, Gnabry, Mane

AGENSI




Discover more from My TV ONLINE

Subscribe to get the latest posts to your email.

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Discover more from My TV ONLINE

Subscribe now to keep reading and get access to the full archive.

Continue reading