Bertempiaran lari tinggalkan rokok seludup
Tawau: Sekumpulan lelaki yang sedang leka memunggah rokok seludup berhampiran Sungai Merotai Kecil, dekat sini, bertempiaran lari selepas diserbu Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), Khamis lalu.
Dalam serbuan 4.45 pagi itu, sebanyak 4,560 karton rokok seludup bernilai lebih RM156,000 dirampas.
Timbalan Pengarah Operasi Zon Maritim Tawau Komander Maritim Amiludin Yengah berkata, terdahulu pihaknya mengesan sebuah bot laju dari arah Pulau Sebatik menuju Tawau iaitu kira-kira 1.4 batu nautika selatan Sungai Merotai Kecil.
Menurutnya, juragan bot laju itu memecut laju sebelum dilihat merapat ke tebing sungai dipercayai lokasi pemunggahan dengan beberapa individu sedang leka memunggah kotak rokok dari bot ke dalam sebuah lori kargo.
“Bagaimanapun, seramai 15 individu bertempiaran melarikan diri ke kawasan hutan bakau berhampiran selepas menyedari pihak berkuasa dan meninggalkan kesemua kotak terbabit serta gagal dikesan.
“Pemeriksaan lanjut menemukan 4,560 karton rokok pelbagai jenama dengan nilai keseluruhan rampasan termasuk dua bot bersama enjin sangkut, serta sebuah lori kargo jenis tiga tan dianggarkan berjumlah RM456,000.00,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.
Amiludin berkata, pihaknya percaya sindiket penyeludupan terbabit mendapatkan bekalan rokok seludup dari negara jiran dengan modus operandi membawa masuk ketika waktu sunyi selain menggunakan bot berkuasa tinggi bagi mengelakkan dikesan oleh pihak berkuasa.
“Semua barang rampasan dan kenderaan yang digunakan sindiket disita untuk siasatan lanjut mengikut Akta Kastam 1967 kerana kesalahan penyeludupan rokok tidak bercukai,” katanya.
METRO