Pengalaman berharga Azroy, Kasma
KUALA LUMPUR: Pengalaman berlumba dengan pelumba terkemuka dunia di PETRONAS Grand Prix (GP) Malaysia 2022 akan dibawa Azroy Hakeem Anuar bagi mengharungi saingan Kejuaraan Motosikal Asia (ARRC).
Saingan ARRC selepas ini dijadual memasuki kemuncak musim 2022 di Litar Antarabangsa Chang, Thailand dari 18 hingga 20 November ini dengan Azroy pada ketika ini mengumpul 100 mata untuk berada di kedudukan keempat keseluruhan.
Azroy yang mewakili pasukan Boon Siew HONDA Racing Team ketinggalan 40 mata daripada pendahulu yang juga rakan sepasukannya, Helmi Azman dan pengalaman di GP Malaysia bakal memberi suntikan semangat untuknya memburu penamat dalam kelompok tiga terbaik kelas SuperSports 600cc.
Pelumba pasukan PETRONAS MIE Racing yang menyertai saingan Moto2 atas tiket wildcard di GP Malaysia itu melengkapkan perlumbaan di Litar Antarabangsa Sepang dengan berada di tempat ke-22 daripada 29 pelumba dengan catatan 39 minit 20.918 saat (s).
“Perlumbaan yang agak sengit… 18 pusingan agak lama kerana saya paling lama pun 12 pusingan saja. Memang keadaan fizikal saya agak kurang tetapi saya cuba tamatkan perlumbaan dengan selamat.
“Walaupun keputusan tidak berapa baik, tetapi saya sudah cuba sehabis baik dan berbangga kerana dapat menamatkan perlumbaan di hadapan penyokong sendiri. Mula-mula memang agak gugup tetapi bila sudah tamat, saya rasa sangat lega.
“Terima kasih kepada semua terutama PETRONAS kerana memberikan peluang sebagai pelumba wildcard di GP Malaysia,” kata Azroy yang membuat penampilan sulungnya di pentas kejuaraan dunia itu.
Sementara itu, seorang lagi pelumba wildcard dalam kelas Moto2 yang membuat penampilan semula selepas menyertai musim penuh pada 2020, Kasma Daniel Kasmayudin menamatkan perlumbaan di tempat ke-19 selepas bermula dari petak ke-29.
“Alhamdulillah syukur dan terima kasih kepada PETRONAS kerana memberikan peluang berlumba atas tiket wildcard ini. Selepas dua tahun meninggalkan saingan Moto2, saya kembali ke sini, menunggang motosikal prototaip.
“Motosikal ini jauh berbeza dengan motosikal yang biasa saya berlumba di ARRC (pada ketika ini). Walaupun keputusan tidak berapa bagus tetapi saya bersyukur kerana dapat menamatkan perlumbaan.
“Perlumbaan di sini memang agak sukar sebenarnya kerana perlu mengawal saingan dan rentak. Bagi saya, dapat menamatkan perlumbaan kali ini pun sudah baik dan saya bersyukur,” kata Kasma.
Bagi saingan kelas ASB1000cc di ARRC 2022, Kasma yang mewakili pasukan Yamaha Gen Blu Racing Team ASEAN berada di kedudukan ketiga keseluruhan dengan 115 mata dan ketinggalan 39 mata di belakang pendahulu dari Jepun, Haruki Noguchi.
BHOnline