Ringgit jatuh buat sementara

PENURUNAN Ringgit Malaysia sedikit sebanyak memberikan kesan kepada ekonomi negara, namun ia dilihat lebih bersifat sementara dan dijangka berpotensi untuk kembali kukuh pada suku ketiga 2022 serta dapat kembali bersaing dengan mata wang lain.

Profesor Madya di Sekolah Perniagaan dan Ekonomi, Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof Madya Ts Dr Anuar Shah Bali Mahomed berkata, kejatuhan Ringgit Malaysia Berbanding Dolar Amerika Syarikat (AS) adalah bersifat sementara dan ia tidak semestinya memberikan kesan negatif kepada semua pihak di dalam negara.

Katanya, berdasarkan trend kedudukan Ringgit Malaysia berbanding negara lain, antaranya Dolar AS, didapati bahawa terdapat penyusutan ketara Ringgit Malaysia sejak pertengahan April tahun ini.



“Namun, dalam tempoh beberapa bulan ke belakang bagi 2022, trendnya menunjukkan kedudukan Ringgit Malaysia ada pasang surutnya, berbanding Dolar AS.

“Tatkala nilai ringgit menyusut maka sebahagian sektor ekonomi akan menerima manfaat daripada kejatuhan Ringgit Malaysia ini dan tentunya sebahagian yang lain akan menerima tempias yang negatif.

“Sebagai contoh, pengeksport negara akan menerima manfaat dari segi hasil eksport mereka yang lebih tinggi dalam nilai ringgit atau peningkatan dalam permintaan bagi barangan buatan Malaysia.

“Tetapi kesan negatifnya kepada negara boleh menyebabkan berlakunya kenaikan harga barang termasuk barangan yang diimport dari luar negara.



“Negara akan mengeluarkan nilai wang yang lebih tinggi untuk membeli barangan terbabit disebabkan oleh nilai tukaran Ringgit Malaysia yang menyusut dan juga berpotensi untuk melonjakkan kadar inflasi negara,” katanya.

Sementara itu, Profesor Madya di Sekolah Perniagaan dan Ekonomi UPM, Prof Madya Dr Nazrul Hisyam Ab Razak berkata, ada beberapa faktor yang boleh diambil kira bagi meningkatkan semula prestasi Ringgit Malaysia berbanding mata wang lain di pasaran wang, dan secara tidak langsung akan meningkatkan ekonomi Malaysia.

Beliau berkata, antara faktor itu adalah dengan memperkukuh pertumbuhan ekonomi negara dengan mempertingkat pertumbuhan sektoral dan mereformasi struktur, mempertingkat inovasi serta penerimagunaan teknologi terkini, selain menyediakan infrastruktur berkualiti kepada rakyat serta pihak yang memerlukan.

“Sektor dijangka akan berkembang dan ia akan dapat meningkatkan taraf ekonomi negara melalui teknologi, perindustrian dan pengguna serta dapat menggalakkan pelabur untuk meningkatkan pelaburan dan memeriahkan pasaran mata wang dan juga saham.



“Selain itu pengenalan Aspirasi Pelaburan Negara (APN) juga bersedia untuk menarik pelaburan berimpak tinggi dalam bidang pertumbuhan baharu yang membawa kepada kesan limpahan kepada ekonomi.

“Faktor lain yang boleh diambil kira adalah tadbir urus korporat. Tadbir urus yang lebih telus juga akan meningkatkan keyakinan pelabur terutamanya pelabur asing untuk yakin untuk melabur di Malaysia,” katanya.

METRO




Discover more from My TV ONLINE

Subscribe to get the latest posts to your email.

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Discover more from My TV ONLINE

Subscribe now to keep reading and get access to the full archive.

Continue reading