Messi, Mbappe bantu PSG belasah Maccabi Haifa

PARIS: Kylian Mbappe dan Lionel Messi masing-masing meledak dua gol ketika Paris Saint-Germain membelasah kelab Israel, Maccabi Haifa 7-2 seterusnya mengesahkan tempat ke kelompok 16 terakhir Liga Juara-Juara berbaki satu perlawanan.

Neymar juga menemui sasaran dan pemain Brazil itu juga memaksa gol sendiri pertahanan Maccabi, Sean Goldberg sebelum Carlos Soler melengkapkan kemenangan ketika kelab dari Paris itu pertama kali mencatat kemenangan dengan tujuh gol dalam Liga Juara-Juara sejak November 2017.

Kemenangan itu bermakna PSG sudah layak dari Kumpulan H bersama Benfica, walaupun mereka perlu menunggu pertemuan terakhir minggu depan bagi menentukan siapa akan menghuni tangga pertama dan mendapat undian lebih mudah untuk pusingan seterusnya.



“Ia malam yang hebat. Pasukan bermain bola sepak yang menakjubkan, antara pertahanan dan tengah dan tiga rangkaian serangan,” kata jurulatih PSG, Christophe Galtier.

“Ada hubungan yang bagus antara mereka.”

Maccabi Haifa yang menyaksikan pertahanan Senegal, Abdoulaye Seck menjaringkan kedua-dua gol pasukan itu, tersingkir bersama Juventus namun juara Israel itu masih boleh mengepikan gergasi Itali itu untuk tempat ketiga dan ke Liga Europa selepas rehat Piala Dunia.

“Saya lebih rela kalah 7-2 berbanding 4-0 tetapi bermain buruk,” kata jurulatih Maccabi, Barak Bakhar.



“Kami berdepan antara pemain terbaik dunia dan mereka membuktikannya malam ini.”

AFP

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button