8 geng angkut pendatang haram tumpas

Putrajaya: Jadikan kawasan sekitar terminal bas sebagai markas memindahkan pendatang asing tanpa izin (PATI) yang baru menyusup masuk ke negara ini melalui sempadan Utara tanah air,

Kegiatan itu bagaimanapun terbongkar apabila seramai 49 PATI berjaya diberkas melalui operasi khas `Ops Gelombang’ di Kelantan.

Ketua Pengarah Jabatan Imigresen Malaysia (JIM), Datuk Khairul Dzaimee Daud berkata, operasi bermula 6 petang semalam disertai seramai 32 pegawai pelbagai pangkat dari Bahagian Perisikan dan Operasi Khas Ibu Pejabat Imigresen Putrajaya dan dibantu JIM Kelantan.



Menurutnya, hasil serbuan di kawasan sekitar terminal bas utama Kota Bharu dan Pasir Mas, pasukan operasi berjaya menahan lapan lelaki tempatan berumur antara 17 hingga 37 tahun yang berperanan sebagai `tukang angkut PATI’ bagi sindiket berkenaan.

“Seramai 49 PATI membabitkan 32 lelaki, 16 wanita dan seorang kanak-kanak perempuan warga Myanmar turut diberkas.

“Mereka dipercayai baru tiba dari negara jiran melalui `lorong tikus’. Mereka kemudiannya cuba dipindahkan dengan menaiki 10 kenderaan ke terminal bas berkenaan,” katanya semalam.

Khairul Dzaimee berkata, risikan dilakukan sejak dua minggu lalu dengan apabila pihaknya mengesan modus operandi sindiket menyeludup PATI melalui laluan laut melintasi sempadan Malaysia -Thailand.



Menurutnya, dalang sindiket dipercayai mengenakan bayaran antara RM6,000 hingga RM 7,000 bagi setiap PATI untuk dibawa masuk ke Malaysia.

“Kesemua PATI yang ditahan dibawa ke destinasi tertentu di luar Kelantan seperti Lembah Klang, Melaka, Pulau Pinang dan Johor Bahru untuk bekerja secara tidak sah,” katanya.

Khairul Dzaimee menjelaskan, PATI wanita yang menyusup masuk di negara ini dipercayai bekerja sebagai tukang urut atau menawarkan perkhidmatan seks.

Menurutnya, siasatan awal mendapati `tukang angkut’ tempatan menerima upah antara RM150 hingga RM250 bagi setiap PATI yang diangkut dari sempadan ke Terminal bas awam sebelum menaiki kenderaan awam ke destinasi ditetapkan.



Katanya, semasa serbuan, terdapat ‘tukang angkut’ dan PATI yang cuba melarikan diri namun berjaya diberkas.

anggota.

“Pasukan operasi juga mengambil langkah berjaga-jaga kerana sindiket ini dipercayai agresif dan bersedia melakukan ancaman fizikal untuk melepaskan diri,” katanya.

Menurutnya lagi, sindiket itu dipercayai aktif sejak Mei tahun ini setelah pintu masuk sempadan kedua-dua belah negara dibuka semula akibat pandemik Covid-19.



Katanya, siasatan awal mendapati pihak sindiket menyasarkan PATI berasal dari Myanmar, Bangladesh dan India yang cuba merebut peluang pekerjaan secara haram di negara ini.

“Berdasarkan anggaran, seramai 160 PATI dibawa masuk oleh sindiket dalam tempoh sebulan.

“Kesemua PATI ditangkap akan didakwa mengikut Akta Imigresen 1959/63 dan Akta Pasport 1966 dan Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Penyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007.

“Manakala tujuh lelaki tempatan yang bertindak sebagai `tukang angkut’ akan dihadapkan ke mahkamah untuk perintah tahanan reman di bawah Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah bagi tujuan siasatan,” katanya.



METRO

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button