Bayern kekal kedudukan, Barca tersingkir
BARCELONA: Bayern Munich mendahului Kumpulan C Liga Juara-Juara menerusi kemenangan 3-0 mengatasi Barcelona selepas nasib kelab Catalan itu sudah ditentukan sebelum sepak mula di Camp Nou awal pagi tadi.
Inter Milan membelasah Viktoria Plzen 4-0 dalam perlawanan awal bagi mengesahkan kemaraan ke kelompok 16 terakhr dan Barca tersingkir pada pusingan pertama buat musim kedua berturut-turut.
Skuad dari Catalan itu yang akan jatuh ke Liga Europa, mara ke pusingan kalah mati dalam 17 edisi sebelum ini sebelum tersingkir awal di bawah kendalian jurulatih, Xavi Hernandez.
Tuan rumah berharap dapat menyelamatkan sedikit maruah mereka di depan kira-kira 84,000 penonton, namun gol babak pertama Sadio Mane dan Eric Maxim Choupo-Moting menafikan mereka.
Benjamin Pavard menambah satu lagi gol ketika Bayern mencatat kemenangan keenam berturut-turut mengatasi Barca.
Sebahagian penyokong meninggalkan stadium pada babak pertama tetapi ramai daripada mereka kekal hingga penamat ketika pasukan berkenaan bermain kali terakhir dalam Liga Juara-Juara di Camp Nou hingga 2024, mereka akan berpindah ke Stadium Olimpik bandar berkenaan musim depan ketika proses ubah suai.
Pemain tuan rumah kembali dari bilik persalinan selepas masa penuh untuk memberi penghargaan kepada penyokong.
“Terima kasih kepada penyokong kerana sokongan tidak berbelah bagi mereka, ada suasana yang menakjubkan, kami perlu mengucapkan terima kasih kepada mereka dan menunjukkan rasa hormat,” kata Xavi kepada Movistar.
“Adalah sesuatu yang mengecewakan apabila kami tidak mampu menunjukkan kepada mereka di padang. Kami perlu tinggalkan Liga Juara-Juara dan berdepan realiti.
“Kami tidak lengkap hari ini, kami tidak mencapai tahap kami. Mereka sangat bagus, lebih baik, lebih mmberi tekanan. Saya yakin tersingkir sebelum perlawanan memberi kesan psikologi kepada kami.”
Bayern yang sudah mengesahkan kemaraan, beraksi tanpa penjaga gol yang cedera, Manuel Neuer, pertahanan Lucas Hernandez dan pemain sayap, Leroy Sane, namun masih menurunkan barisan terkuat.
AFP