BSKU mula siasatan kes helikopter terhempas di Brinchang

IPOH: Pihak Biro Siasatan Keselamatan Udara (BSKU) sudah memulakan siasatan di lokasi nahas insiden helikopter terhempas di Brichang dekat Tanah Rata, kelmarin.

Ketua Polis Perak, Datuk Mohd Yusri Hassan Basri, berkata pihak BSKU tiba di lokasi kejadian sejak semalam bagi menjalankan siasatan terhadap nahas itu.

“Saya difahamkan oleh Ketua Polis Daerah Cameron Highlands bahawa pegawai daripada BSKU sudah tiba di Cameron Highlands dan pergi ke lokasi nahas terbabit untuk membuat siasatan



“Pihak BSKU yang akan menjalankan siasatan nahas itu yang sudah dimulakan,” katanya pada sidang media Pelupusan Barang Kes Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik PDRM Perak di perkarangan Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak di sini, hari ini.

Semalam, media melaporkan, Perkhidmatan Pasukan Doktor Udara (PDU) Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Kinta ditangguhkan berikutan insiden nahas helikopter di Brinchang dekat Tanah Rata.

Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin dilaporkan berkata, ia ditangguhkan sementara menunggu laporan Kementerian Kesihatan (KKM) berhubung tahap keselamatan diberikan syarikat helikopter terbabit yang disewa.

Keadaan semua mangsa yang sedang dirawat di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) semakin pulih.



Kelmarin, sebuah helikopter dinaiki enam individu termasuk lima pegawai perubatan, terhempas di kawasan hutan berhampiran Tanah Rata, Cameron Highlands bersempadan Perak dan Pahang.

Dalam kejadian kira-kira jam 1 tengah hari itu, semua mangsa terbabit dilaporkan selamat, namun mengalami kecederaan susulan helikopter terhempas akibat cuaca buruk.

Insiden berlaku di Kompartment 213, Hutan Simpan Bukit Kinta dalam daerah Kinta, Perak yang hanya berjarak kira-kira 400 meter daripada sempadan Pahang.

Selain juruterbang, Kapten Fedzrol Norazam, 43, lima penumpang yang terbabit dalam nahas adalah kakitangan KKM iaitu Pegawai Perubatan, Munirah Abd Rahman, 53; Jururawat Masyarakat Hashilawati Hussin, 43, jururawat Norhasikin Abu Seman, 38; Pembantu Kesihatan Awam, Zainurol Fazlan Zainudin, 40; dan Penolong Pegawai Perubatan Muhamad Azlan Hanifah, 31.



BHOnline

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button