Pulanglah Nur Safiyyah
PARIT BUNTAR: Seorang ibu merayu orang ramai mengesan anaknya yang menghilangkan diri dari rumah sejak semalam.
Nur Safiyyah Mohd Syukri, 12, disedari hilang oleh ahli keluarga pada jam 7 malam selepas mendapati pintu di rumah di Kampung Parit Tok Hin, Kuala Kurau, di sini terbuka.
Ibunya, Misiah Sahar, 35, berkata ahli keluarga ada menghubungi anak ketiga daripada lima beradik itu namun panggilan tidak dijawab.
“Kami sekeluarga tak tahu dia ke mana. Ada panggilan telefon daripada orang awam yang mengatakan kelibat anak ada di sekitar sini saja, ada juga yang memaklumkan dia akan pulang tak lama lagi.
“Kami cuba menghubungi telefon bimbit yang dibawanya. Pada awalnya panggilan dapat dibuat beberapa kali tapi tidak berjawab.
“Namun selepas itu panggilan disekat termasuk di WhatsApp,” katanya dihubungi hari ini.
Menurutnya, anaknya dipercayai keluar dari rumah dengan membawa dua beg termasuk beg pakaian serta duit dianggarkan RM200.
Misiah berkata, tidak berlaku sebarang perselisihan faham antara Nur Safiyyah dengan ahli keluarga lain termasuk dia dan suami.
Menurutnya, dia dan suami pergi ke balai polis berhampiran bagi memaklumkan kejadian namun laporan hanya boleh dibuat selepas 24 jam kehilangannya.
“Pada jam 8 malam ini, kami akan buat laporan dan saya mohon jasa baik pihak yang mungkin mempunyai maklumat atau mengetahui di mana anak saya berada supaya menghubungi kami atau memaklumkan pada balai polis berhampiran,” katanya.
Kehilangan Nur Safiyyah turut dikongsi di laman sosial yang turut memaparkan nombor telefon Misiah iaitu 017- 483 9569.
Sementara itu bapa mangsa, Mohd Syukri Jamaludin, 41, berkata satu laporan polis dibuat pada jam 8.00 malam semalam.
Menurutnya hingga kini tiada laporan diterima dan pihak polis masih lagi menjalankan siasatan.
BHOnline