Terkedu melihat bumbung rumah melintang di jalan raya

Jitra: “Tak pernah berlaku ribut seteruk ini apabila banyak bumbung rumah berterbangan sehingga ada yang melintang di atas jalan raya.

“Selain itu, banyak pokok di tepi jalan pula tumbang tapi syukurlah tiada mangsa ketika itu,” kata Ahmad Shukri Deris, 54.

Menurut Ahmad Shukri, dalam kejadian 4.30 petang itu, dia melalui kawasan Sungai Korok, dekat sini dengan menunggang motosikal dan sebaik hujan lebat, dia terus memberhentikan motosikalnya di sebuah kedai makan kerana bimbang keadaan jalan licin.



Katanya, tidak lama kemudian dia terdengar deruan angin kencang sebelum ternampak beberapa pokok tumbang.

“Saya hanya mampu berdoa supaya hujan dan angin berhenti tetapi keadaan lebih teruk apabila ada bumbung rumah penduduk berterbangan di atas jalan raya,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Kejadian itu menyebabkan pengguna jalan raya dari Air Hitam ke Pekan Jitra tidak dapat melalui kawasan itu dan terpaksa menggunakan alternatif lain untuk meneruskan perjalanan.

Berikutan itu, pasukan penyelamat dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Jitra dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Daerah Kubang Pasu tiba di lokasi untuk melakukan tugas memotong dahan pokok yang tumbang bagi mengelakkan kesesakan.



Kawasan terjejas akibat dilanda ribut itu ialah Kampung Bata, Kampung Malau, Kampung Sampang di Mukim Malau, Kampung Permatang Kerpan di Mukim Jerlun.

Selain itu, Kampung Sungai Korok di Jitra, Kampung Padang Pekan di Mukim Naga dan Kampung Permatang Pinang di Mukim Jeram.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah Mohamadul Ehsan Mohd Zain berkata, sepasukan anggotanya dari BBP Jitra tiba di lokasi di Sungai Korok untuk membantu khidmat khas pokok tumbang.

“Kerja pembersihan dijalankan dengan Pasukan Bomba Sukarela (PBS) Ayer Itam dan orang awam.



“Operasi tamat sepenuhnya 7.23 malam,” katanya.

METRO

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button