Air pasang besar diramal landa Kota Setar, Kuala Muda esok



ALOR SETAR: Air pasang besar diramalkan melanda kedua-dua daerah Kota Setar dan Kuala Muda, Kedah, selama tiga hari bermula esok hingga Sabtu ini.

Pegawai Pertahanan Awam Daerah Kota Setar, Kapten (PA) Norlizawati Ismail memaklumkan bagi daerah itu, air pasang besar dijangka berlaku di Kuala Kedah yang boleh menyebabkan paras air laut mencecah hingga 2.9 meter (m).

Susulan itu, beliau berkata, antara lokasi dijangka dinaiki air ialah Terminal Feri Kuala Kedah, Taman Seri Putra, Pasar Kota Marina dan Pekan Kuala Kedah.

“Anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Kota Setar akan melakukan pemantauan di kawasan itu ketika air pasang berlaku, untuk memastikan keselamatan penduduknya.



“Air pasang dijangka berlaku pada jam 12.35 tengah malam esok, 1.09 pagi Jumaat dan 1.47 pagi Sabtu,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Sementara itu Pegawai Pertahanan Awam Daerah Kuala Muda, Kapten (PA) Azhar Ahmad pula memaklumkan pantai Kota Kuala Muda dan pantai Tanjung Dawai dijangka terkesan dengan air pasang besar kali ini.

Justeru, beliau berkata, sembilan kampung di tiga mukim berkemungkinan dinaiki air, iaitu Kampung Kepala Jalan dan Kampung Hujung Matang di Mukim Kuala, dan Kampung Sungai Meriam serta Kampung Sungai Yu di Mukim Bukit Meriam.

“Selain itu, Kampung Nelayan, Kampung Bagan Asam, Pekan Tanjung Dawai, Kampung Huma dan Kampung Sungai Pial di Mukim Merbok dijangka turut terkesan,” katanya.



Azhar berkata, paras air laut dijangka mencecah 2.9m sepanjang tempoh tiga hari kejadian diramalkan itu.

Sehubungan itu, penduduk di kawasan pesisir pantai dinasihatkan bersiap sedia untuk berpindah sekiranya kediaman mereka dinaiki air ketika air pasang besar melanda.

BHOnline



Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker