Inter selar tindakan penyokong setianya

MILAN: Inter Milan menyelar tindakan sekumpulan penyokong setianya yang memaksa penyokong lain keluar dari Stadium San Siro bagi menghormati rakan mereka yang terbunuh sebelum kemenangan ke atas Sampdoria.

Skuad kendalian Simone Inzaghi baru saja meraikan kejayaan layak ke kelompok 16 terakhir Liga Juara-Juara Eropah dan melonjak ke tangga kelima Serie A selepas kemenangan 3-0 Sabtu lalu.

Bagaimanapun bahagian Curva Nord yang biasanya dimeriahkan dengan sorakan ultras, kali ini sunyi sepi dan kumpulan berkenaan keluar selepas rehat bagi menghormati Vittorio Boiocchi – antara ketua paling berpengaruh ultras Inter.

Penyokong setia lain yang berada di bahagian tengah Curva Nord kemudiannya memuat naik bukti di media sosial yang mengatakan mereka dipaksa serta diugut supaya meninggalkan stadium.

“FC Internazionale Milano mengutuk keras sebarang paksaan yang berlaku di San Siro pada Sabtu.

“Kelab ingin menyatakan solidariti mereka terhadap peminat yang dipaksa melepaskan apa yang paling mereka ambil berat – cinta dan minat terhadap Inter,” kata Inter dalam dalam satu kenyataan.

Boiocchi, yang dipenjara lebih 20 tahun pada tahun 90-an kerana mengedar dadah, ditembak beberapa kali berhampiran kediamannya di Milan dan meninggal dunia pada usia 69 tahun.

Dia mempunyai rekod jenayah sejak pertengahan 1970-an dan dilarang daripada menghadiri perlawanan Inter.

Boiochhi didakwa meraih sekitar 80,000 euro (RM373,682) sebulan hasil daripada menjadi ulat tiket serta mengambil sebahagian daripada keuntungan tempat letak kereta dan gerai jualan berhampiran San Siro.

AFP

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker