Proses penamaan calon Parlimen Shah Alam lancar

ISHAM JALIL (tiga dari kanan) beramah mesra dan bertanya khabar penyokong Barisan Nasional yang hadir pada Hari Penamaan Calon PRU15 bagi kerusi Parlimen P108 Shah Alam di Dewan Teratai MBSA, Seksyen 19 di sini, hari ini.

Oleh Rohana Man

SHAH ALAM – Proses penamaan calon bagi kerusi Parlimen P108 Shah Alam berjalan lancar tanpa ada provokasi daripada para penyokong empat parti yang mengiringi calon masing-masing.



Tinjauan MyTV Online mendapati penyokong ditempatkan dalam kawasan yang berjarak antara 50 hingga 100 meter antara satu sama lain, sekali gus menjadikan keadaan terkawal.

Kawalan ketat pihak polis turut membantu perjalanan penamaan calon Parlimen Shah Alam hari ini berlangsung dalam suasana harmoni.

Parlimen Shah Alam menyaksikan pertembungan empat penjuru antara Isham Jalil dari Barisan Nasional (BN), Dr. Afif Bahardin (Pakatan Nasional, PN), Azli Yusof (Pakatan Harapan, PH) dan Muhammad Rafique Rashid (GTA/Pejuang).

Calon BN, Isham Jalil tiba di Dewan Teratai MBSA, Seksyen 19 dekat sini dalam persalinan baju Melayu berwarna biru tua sekitar pukul 8.30 pagi.



Turut mengiringi beliau adalah isterinya, Zai Munira Abd Rashid dan anak-anak, Sarah Nurlisa serta Adam Johan. Ibu dan bapa Isham Jalil turut hadir bagi memberi sokongan kepada anak mereka yang bertanding pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Selain itu, wakil Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO serta parti komponen MIC dan MCA turut hadir memberi sokongan kepada  Isham Jalil.

Sebaik sahaja bacaan doa selesai dibaca,  laungan Hidup BN dan Hidup Isham Jalil memecah suasana sambil penyokong mengambil giliran untuk bergambar dengan beliau.

Di luar dewan, sementara menunggu penamaan calon selesai, cuaca mendung tidak menghalang penyokong BN yang diketuai Pemuda Shah Alam menyanyikan lagu Barisan Kita dan Cukuplah Sekali dengan penuh bersemangat.



Proses penamaan calon yang dikendalikan Pegawai Pengurus SPR Bahagian Shah Alam, Azimah Mohd Zain tamat tepat pukul 10 pagi, namun penyokong BN masih belum bersurai kerana mahu terus menunjukkan sokongan padu kepada Isham Jalil yang masih berada di dalam dewan.

 

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button