‘Malaysia ibarat harimau terluka…’

KUALA LUMPUR: Peluang untuk mencipta sejarah menjuarai Piala Azlan Shah 2022 disifatkan terbuka luas buat Malaysia, namun terdapat beberapa faktor yang perlu diberikan pengawasan oleh skuad Malaysian Tigers ketika menentang Korea Selatan di Ipoh, hari ini.

Korea Selatan yang juga penyandang juara bakal memasuki pentas final kelapan mereka di Stadium Hoki Sultan Azlan Shah, dengan berbekalkan merit pernah menewaskan Malaysia 0-3 pada aksi pembukaan, 1 November lalu.

Kemenangan itu secara tidak langsung meletakkan Korea Selatan yang berada diranking ke-12 dunia diletakkan sebagai pilihan, namun Malaysia di bawah kendalian Arul Selvaraj dilihat turut mempunyai kelebihan tersendiri yang mempamerkan kebangkitan meraih tiga kemenangan ke atas lawan berlainan selepas itu.



Malaysia yang berada dua anak tangga di atas Korea Selatan begitupun harus memberi fokus untuk menjinakkan pihak lawan di hadapan penyokong sendiri dan perkara itu dinyatakan bekas pemain kebangsaan, Maninderjit Singh.

Maninderjit yang pernah beraksi di Sukan Olimpik Atlanta 1996 dan Sydney 2000 menyifatkan Malaysia mempunyai peluang cerah untuk melakar kemenangan, namun baginya, terdapat beberapa ‘syarat’ yang perlu ditunaikan sekiranya mahu muncul juara pada edisi kali ini.

“Ini adalah final keenam buat Malaysia,” kata Maninderjit atau dikenali sebagai Mike kepada BH Sukan. “Kita sudah lima kali muncul naib juara. Namun selepas tewas pada perlawanan pertama (di tangan Korea Selatan), saya rasa itu bukan kayu pengukurnya.

“Ia memandangkan momentum yang ditunjukkan pasukan kita selepas perlawanan itu, kita berjaya meraih tiga kemenangan dan itu satu perubahan yang berbeza. Saya rasa pasukan berada di tahap optimum dan berkeyakinan tinggi.



“Malah secara kebiasaannya, bukan mudah untuk sesebuah pasukan dapat menewaskan Malaysia sebanyak dua kali dalam mana-mana kejohanan. Kita ini, ibarat harimau yang luka. mahu membalas dendam namun semua itu boleh dilakukan dengan beberapa syarat.

“Kita melihat serangan pukulan sudut penalti (PC) pasukan Korea Selatan adalah satu elemen merbahaya. Dengan itu, kita tak seharusnya memberi ruang buat Korea Selatan meraih pukulan sudut penalti.

“Seterusnya, mereka juga mempunyai satu pengurusan pertahanan yang terbaik dalam kejohanan ini disebabkan empat pemain di belakang serta penjaga gol mereka adalah pemain berpengalaman kerana mempunyai 600 ke 900 cap.

“Perbezaan daripada PC kita juga harus mantap. Pelari pertama dalam PC begitu penting dan ketangkasan penjaga gol kita juga penting. Selain itu, tekanan sebenarnya terletak di bahu Korea Selatan kerana mereka menang pada perlawanan pertama dan mereka juga juara bertahan.



“Malaysia harus bermain tanpa tekanan dan ini peluang terbaik untuk muncul juara Piala Azlan Shah kerana pada edisi kali ini, kurang penyertaan pasukan terbaik di dunia. Jadi, Malaysia harus mengambil segala peluang dan kesempatan ini.

“Kita mempunyai ‘ramuan’ untuk tewaskan Korea tetapi semua itu akan tercapai dengan beberapa syarat seperti saya katakan tadi,” kata Mike yang mahu pemain bermain mati-matian untuk melakar sejarah diidamkan.

“Pada zaman saya, orang sering katakan, kalau luka boleh jahit, kalau patah boleh dibetulkan namun keputusan di papan markah tak boleh diubah. Jadi berikanlah 100 peratus komitmen dan ini adalah pentas final yang jauh berbeza daripada perlawanan peringkat kumpulan.”

Untuk rekod, pencapaian terbaik negara sejak kali pertama kejohanan ini dianjurkan pada 1983 adalah menduduki tempat kedua sebanyak lima kali iaitu pada edisi 1985, 2007, 2009, 2013 dan 2014.



Pada edisi 2014, Malaysia tewas 8-3 di tangan Australia yang pada ketika ini mempunyai 10 koleksi kejuaraan dengan kali terakhir pasukan ranking pertama dunia itu meraih gelaran pada 2019 ketika menewaskan England, 2-1.

Selain itu, Malaysia turut pernah meraih tempat ketiga sebanyak dua kali iaitu pada 1996 dan 2019 dan tujuh kali penamat di tempat keempat, masing-masing pada 1983, 1987, 1994, 2000, 2010, 2016 dan 2018.

BHOnline



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button