Warga emas maut rumah terbakar

KEPALA BATAS: Seorang lelaki warga emas maut dalam kebakaran sebuah kediaman di Paya Keladi Hujung, di sini, lewat malam tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 11.40 malam, mangsa berusia 70 tahun itu dilaporkan tinggal seorang diri di rumah berkenaan.

Komander Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pulau Pinang, Pegawai Bomba Kanan II (PBK II) Syahidan Sahid, berkata pasukan dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bertam dan BBP Kepala Batas bergegas ke lokasi sebaik saja menerima panggilan kecemasan berhubung insiden itu.



Setiba di lokasi, beliau berkata, pasukan mendapati sebuah rumah terbakar dengan kemusnahan dianggarkan 60 peratus.

“Pasukan terus menjalankan kerja pemadaman sebelum kebakaran berjaya dikawal sepenuhnya pada jam 12.19 tengah malam.

“Seorang lelaki warga emas meninggal dunia dipercayai terperangkap dalam rumah itu dan tidak sempat keluar menyelamatkan diri,” katanya dalam satu kenyataan, di sini, hari ini.

Beliau berkata, punca kejadian dan jumlah kerugian masih dalam siasatan. Difahamkan, mayat mangsa kemudian dibawa ke Hospital Kepala Batas (HKB) untuk tindakan lanjut.

Sementara itu calon Barisan Nasional (BN) di kerusi Parlimen Kepala Batas yang juga Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican, turut ke lokasi sebaik saja mendapat maklumat berhubung kejadian berkenaan.



BHOnline

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button