Tak cukup jantan, Rafique import Ashikin
CALON Pejuang Parlimen Ampang, Dr. Nurul Ashikin Mabahwi menjadi jemputan khas di Shah Alam bagi mengisi kelompongan kempen Muhammad Rafique Rashid Ali.
Oleh Azrin Muhammad
SHAH ALAM – Selepas mendabik dada mengaku musuh politiknya penakut, calon Pejuang, Muhammad Rafique Rashid Ali kembali menikus apabila terpaksa menjemput calon Pejuang Ampang, Dr. Nurul Ashikin Mabahwi dalam kempennya di Shah Alam.
Semalam, Ashikin yang lebih dikenali sebagai Dr. Banjir terpaksa keluar dari kawasan Ampang semata-mata untuk membantu Rafique berkempen di Tapak Pasar Malam Padang Jawa pada pukul 9 malam.
Tindakan itu membuktikan dirinya tidak layak dipilih menjadi pemimpin kerana tidak mempunyai kepakaran dan pengalaman yang cukup demi menjamin kebajikan hampir 160,000 pengundi berdaftar di Shah Alam dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).
Hanya berdiri di atas kenderaan pacuan empat roda, Rafique menggunakan alasan hanya mahu berkongsi kepakaran dengan Ashikin tetapi realitinya Ampang juga tidak pernah bebas daripada masalah banjir.
Adakah penduduk Shah Alam masih perlu menunggu banjir di kawasan lain diselesaikan terlebih dahulu untuk berasa selamat daripada bencana berkenaan?
Nampaknya beban banjir terpaksa dipikul di atas bahu rakyat yang berbelas tahun menanggung kerugian.
Justeru, tindakan drastik perlu dilakukan dengan cara mengubah parti yang memimpin Parlimen Shah Alam sebelum ini agar kesejahteraan ibu negeri Selangor kembali gah seperti suatu masa dahulu.