Mohana guna banyak bahasa



DATUK Mohana Muniandy cuba menebar roti canai di sebuah gerai makan di Kuala Langat.

Oleh Rohana Man

 

KUALA LANGAT – Dalam politik kaum India, nama Datuk Mohana Muniandy bukanlah satu nama asing.

Beliau yang merupakan Ketua Wanita MIC Kebangsaan menjadi taruhan Barisan Nasional (BN) untuk bertanding di kerusi P112 Parlimen Kuala Langat.



Meninjau laman Facebooknya, sesi walkabout beliau bermula di pasar pagi sekitar Banting.

Beliau menggunakan kesempatan itu untuk bertemu golongan peniaga dan pengunjung pasar pagi.

Apa yang menarik, beliau membawa jentera yang terdiri daripada pelbagai kaum bagi memudahkannya bertanya khabar dan berkomunikasi dengan bakal pengundi dalam bahasa yang difahami mereka.

Sesekali terdengar beliau bertutur dalam Bahasa Kebangsaan ketika bertemu bakal pengundi kaum Melayu.



Menjengah live FB beliau, Mohana turut menuturkan beberapa patah Bahasa Mandarin ketika menyapa peniaga pasar pagi yang kebanyakannya terdiri daripada kaum Cina.

Kehadiran beliau di tempat-tempat tumpuan ramai seperti ini memberi peluang kepada penduduk setempat mengenalinya.

Ini dapat dilihat dalam ruang komen daripada Kak Ngah yang menulis, “Tak kenal maka tak cinta tok”.

Dalam pada itu, sempat juga Mohana berkempen dengan berkata: “Tiga kali sudah bagi PH..Kali ini, kita pilih Barisan Nasional.”



Dalam PRU14, kerusi Parlimen Kuala Langat dimenangi Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Dr. Xavier Jayakumar dengan majoriti 17,112 undi.

Dr. Xavier meraih 43,239 undi menewaskan calon BN, Shahril Sufian Hamdan dan calon PAS, Datuk Dr. Yahya.

Pada Oktober lalu, Dr. Xavier keluar dari PKR untuk menyertai Parti Bangsa Malaysia (PBM).

Parlimen Kuala Langat pada PRU15 menyaksikan pertembungan enam penjuru melibatkan Mohana (BN-MIC), Manivanan (PH-PKR), Datuk Dr. Ahmad Yunus Hairi (PN-PAS) dan Ridzuan Abdullah (GTA-Gagasan Bangsa), Ganeskumar (PRM) dan Zanariah Jumhuri (Bebas).



MIC memperoleh 10 kerusi Parlimen dan tiga kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dalam agihan kerusi BN di seluruh negara pada PRU15.



Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker