Piala Super Sepanyol milik Real Madrid

 

Real Madrid mengatasi Athletic Bilbao 2-0 pada final Piala Super Sepanyol di Arab Saudi untuk memberikan gelaran ke-21 buat pengendali Carlo Ancelotti dalam karier pengurusannya dan kelima bersama gergasi Sepanyol itu.

Jaringan Luka Modric dan penalti yang disempurnakan Karim Benzema memastikan trofi pertama buat Ancelotti sejak memenangi Piala Super Jerman 2017 bersama Bayern Munich, empat setengah tahun lalu.

“Benar saya memenangi banyak trofi tetapi sudah terlalu lama sejak yang terakhir. Menang menggambarkan hasil kerja anda.

“Di mata umum, ia bermakna anda sudah melakukan kerja yang baik tetapi ia tidak semestinya benar. Saya rasa saya melakukan tugas dengan baik di Everton dan Napoli tetapi belum menang di sini,” kata Ancelotti.



Pengendali berusia 62 tahun itu pernah membantu Real memenangi gelaran Liga Juara-Juara Eropah ke-10 mereka pada tahun 2014.

Dia turut memenangi Piala Raja Sepanyol, Piala Super Eropah dan Piala Dunia Kelab dengan Madrid ketika kali pertama membimbing kelab itu sehingga tahun 2015.

Dia hanya perlu memenangi La Liga untuk menjadi pengendali pertama dalam sejarah kelab memenangi kesemua enam trofi utama ditawarkan. Mereka kini mendahului saingan liga dengan 49 mata daripada 21 perlawanan, lima mengatasi Sevilla.

Ancelotti turut memenangi tiga trofi bersama Bayern, satu bersama Paris Saint-Germain, tiga dengan Chelsea, lapan bersama Milan dan satu dengan Juventus. – REUTERS



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button