Mayat lelaki ditemukan dalam rumah belum siap, isteri ditahan kes bunuh

Oleh – Syeikh Baran


Mayat lelaki ditemukan dalam rumah belum siap, isteri ditahan kes bunuh
Gambar Hiasan

Seorang wanita ditahan selepas mayat suaminya yang dipercayai mangsa pembunuhan, ditemukan di dalam sebuah rumah belum siap dibina di Tanjung Rambutan di sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Abang Zainal Abidin Abang Ahamad, berkata pihaknya menerima maklumat daripada orang awam pada jam 10.03 pagi berhubung penemuan mayat lelaki berumur 25 tahun itu.

Beliau berkata, mangsa didakwa dijumpai dalam keadaan terbaring tidak sedarkan diri di dalam sebuah bilik rumah berkenaan.

Katanya, hasil siasatan awal di tempat kejadian mengesahkan lelaki warga asing itu sudah meninggal dunia ketika ditemukan.

Pada mulanya, beliau berkata, kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR) berikutan tiada tanda unsur jenayah ditemukan pada tubuh mangsa mahupun di tempat kejadian.

“Bagaimanapun, hasil bedah siasat ke atas mayat mendapati punca kematian mangsa adalah disebabkan kecederaan di kepala akibat trauma objek tumpul.

“Hasil pemeriksaan juga mendapati keseluruhan anggota badan mangsa dipenuhi kesan lebam baharu, selain kesan cekik pada leher.

“Justeru, kes telah diklasifikasikan semula dan disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan, iaitu bunuh,” katanya dalam satu kenyataan.

Susulan itu, Abang Zainal Abidin berkata, tindakan siasatan polis membawa kepada penangkapan seorang wanita di Tanjung Rambutan pada hari sama.

“Wanita itu yang juga warga asing berusia 37 tahun adalah isteri mangsa dan ditahan bagi membantu siasatan.

“Siasatan kes sedang dijalankan dan keterangan saksi-saksi yang terbabit akan dirakam percakapan mereka,” katanya.

Beliau berkata, orang ramai yang mempunyai maklumat kes itu diminta berhubung dengan pegawai penyiasat, Asisten Superintendan Chua Sze Yuan melalui talian 012-6195312 atau mana-mana balai polis berhampiran bagi membantu siasatan.

“Pihak polis memandang serius kejadian itu. Orang ramai diminta bersabar dalam apa jua keadaan dan tidak melakukan sebarang perbuatan yang salah di sisi undang-undang,” katanya.

Sumber – BERITA HARIAN

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker