Misi Ecuador benam Qatar tercapai

AL KHOR. QATAR: Jurulatih Ecuador, Gustavo Alfaro mengakui misi mereka tercapai selepas membuka kempen Piala Dunia menerusi kemenangan 2-0 ke atas Qatar, awal pagi tadi.

Namun, Alfaro mengingatkan anak buahnya bahawa dia mahukan lebih lagi sekiranya mahu layak ke pusingan kalah mati.

Ecuador memperagakan corak permainan menyerang seperti dimahukan Alfaro yang menyaksikan penyerang veteran, Enner Valencia meledak dua gol pada babak pertama sekali gus menyamai pencapaian pasukan daripada enam perlawanan terakhir.



Qatar dan Ecuador masing-masing melihat pertembungan itu sebagai perlawanan patut menang jika menyasarkan tempat ke pusingan kalah mati.

Ini kerana mereka akan berdepan lawan lebih sukar dalam Kumpulan A iaitu Belanda serta Senegal.

Ketika mereka menamatkan kemarau gol pada aksi pertama itu, penyudah yang kurang kemas khususnya selepas Valencia dikeluarkan pada minit ke-75 jelas membimbangkan mereka.

“Apa yang penting adalah kami meraih kemenangan. Kami lakukan apa yang diperlukan bagi memenangi perlawanan ini.



“Pada masa rehat, saya bertanya kepada pemain sama ada mereka gembira, mereka membalas ‘tidak’ dan berkata mereka boleh beraksi lebih baik.

“Saya ucapkan tahniah kepada mereka atas kemenangan ini tetapi menyatakan bahawa kita perlu jadi lebih baik,” tambahnya.

Menanti mereka selepas ini adalah finalis tiga kali, Belanda yang pasti memberikan tentangan lebih sengit, Sabtu ini.

“Jika kita mahu layak ke pusingan kalah mati, kita perlu menamatkan saingan pada kedudukan lebih baik. Jadi kita menambah baik kekurangan daripada perlawanan ini.



“Ada pasukan yang tidak layak sekalipun berjaya memenangi aksi pertama,” katanya.

AGENSI

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button