Pemain ‘gergasi’ tonggak benteng Korea

Doha: Kecederaan muka Son Heung-min membayangi persediaan Korea Selatan menghadapi kempen Piala Dunia tetapi pertahanan mereka bergelar ‘gergasi’ turut menjadi nadi penting kepada pasukan itu di Qatar.

Pertahanan tengah, Kim Min-jae menjadi tumpuan sejak berpindah dari Fenerbahce di Turki ke Napoli pada musim panas dengan nilai hanya 18 juta euro (RM84.98 juta).

Namun pemain berusia 26 tahun itu menjadi tonggak kepada rekod tanpa kalah Napoli dalam aksi Serie A musim ini dan menjadi pendahulu carta sebelum liga berehat untuk Piala Dunia.



Berketinggian 1.9 meter, Kim dikaitkan sekian lama dengan Liga Perdana Inggeris dan Manchester United dikatakan kelab terbaru berminat dengan pemain itu.

Kehebatannya di Itali terserlah selepas Serie A menobatkan Kim sebagai pemain terbaik bulan September dan pada Oktober lalu, dia dipilih pemain terbaik bulanan oleh Persatuan Pemain-Pemain Itali.

Masih belum dipastikan penyerang Spurs, Son dapat beraksi menentang Uruguay esok tetapi agensi berita Korea Selatan, Yonhap berkata: “Menentang lawan seperti Uruguay dan Portugal dalam Kumpulan H, tidak dapat dinafikan peranan Kim lebih penting berbanding Son.”

Yonhap menganggap Kim yang bakal mengekang Luis Suarez dan Darwin Nunez dalam aksi pembukaan Korea Selatan seperti batu di bahagian pertahanan.



Kim mendapat gelaran gergasi kerana kerana saiz fizikalnya dan kemampuan menyekat lawan dengan kawalan agresif.

Kim tampil kali pertama untuk Korea Selatan pada 2017 dan meraih 44 kap tetapi Piala Dunia di Qatar yang pertama baginya.

AFP



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button