Guan Eng susul Anthony Loke mohon maaf kepada Premier, rakyat Sarawak

KUCHING: Selepas Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke memohon maaf secara terbuka kepada kerajaan dan rakyat Sarawak pada pertemuan dengan Tan Sri Abang Johari Abang Openg, di sini pagi tadi, seorang lagi pemimpin kanan parti itu mengambil langkah sama.

Pengerusi Kebangsaan DAP, Lim Guang Eng dalam hantaran di akaun Facebook hari ini, mengambil tindakan sama dengan memohon maaf kepada Premier Sarawak dan kerajaan Sarawak atas tegurannya yang mungkin menyinggung perasaan.

Menegaskan masa depan negara lebih penting ketika ini, Ahli Parlimen Bagan, berkata: “Marilah kita membuat permulaan baharu untuk bekerjasama untuk memelihara kepelbagaian, keterangkuman dan perpaduan masyarakat kita yang berbilang kaum dan budaya”.



Bekas Menteri Kewangan yang juga bekas Ketua Menteri Pulau Pinang itu juga berkata, permulaan baharu itu juga untuk melindungi Perlembagaan Persekutuan demi manfaat semua di Semenanjung, Sabah dan Sarawak.

Terdahulu, Loke mengadakan kunjungan hormat ke atas Abang Johari di kediaman Pengerusi Gabungan Parti Sarawak (GPS) itu di Jalan Tun Abdul Rahman Yakub, Petra Jaya, di sini, hari ini.

Pada pertemuan itu, Loke menyampaikan permohonan maaf secara terbuka DAP kepada kerajaan dan rakyat Sarawak atas sebarang kenyataan yang menyinggung perasaan yang dibuat oleh pemimpin parti itu, selama ini.

BHOnline



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button