Penduduk pinggir pantai di Batu Pahat berjaga-jaga susulan air pasang besar



Batu Pahat: Beberapa kawasan di Punggur, Rengit di sini dinaiki air hari ini akibat fenomena air laut pasang besar yang bermula sejak semalam.

Seorang penduduk Pun Kawi, 62, berkata, keluarganya kini dalam keadaan berjaga-jaga dengan perkembangan fenomena alam itu ditambah pula dengan hujan yang tidak menentu.

“Air laut setinggi 3.4 meter ke kawasan tebing pantai akibat ombak besar menyebabkan kawasan kedai berhampiran ditenggelami air pada 9.30 pagi tadi, ” katanya.

Sementara itu, Ketua Komuniti Nelayan Kampung Sungai Punggur Laut, Abdullah Kassim, 65 berkata, kejadian air pasang besar sudah menjadi lumrah kepada penduduk dan nelayan pantai di kawasan berkenaan.



“Kalau disusuli ribut dan hujan lebat berterusan memang bahaya dan terlalu berisiko. Kami perlu lebih berhati-hati. Tetapi kebiasaannya kami akan periksa dulu keadaan cuaca sebelum turun ke laut.

“Bukan sahaja nelayan yang terjejas mata pencarian, tetapi juga peniaga di kawasan gerai di Pantai Rekreasi Punggur. Peniaga tidak dapat menjual makanan dan minuman kerana kawasan gerai dinaiki air akibat air pasang besar,” katanya ketika ditemui hari ini.

Beliau berkata, pihaknya menggesa pembinaan benteng pemecah ombak atau batu bom bagi menggantikan benteng yang sedia ada kerana tidak sesuai menampung kesan daripada ombak kuat ketika air pasang besar.

“Sejak lima tahun kebelakangan ini, ombak makin kuat, air pasang makin tinggi. Keadaan makin teruk dan perlukan tindakan segera dengan pembinaan batu bom di sepanjang kawasan pantai kira-kira enam kilometer,” katanya.



Sementara itu, Ketua Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Rengit, Penguasa Bomba Kanan ll Mohd Salleh Abdul Rahim berkata, paras air laut yang melimpah masih dalam terkawal namun pihaknya sentiasa memantau dari semasa ke semasa sebagai langkah berjaga-jaga.

“Tinjauan mendapati di dua kawasan di Kampung Sungai Perpat dan Kampung Sungai Punggur Laut agak terkawal dan air yang melimpah di kawasan terjejas kira-kira setinggi 0.5 meter.

“Orang ramai juga dinasihatkan lebih berhati-hati ketika berkunjung di kawasan rekreasi di pesisir pantai di Batu Pahat dan sentiasa patuhi arahan terkini daripada pihak berkuasa,” katanya.

METRO





Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker