Ronaldo seorang legenda – Santos
DOHA: Cristiano Ronaldo berkata, dia sudah melupakan masalah dihadapinya di Manchester United selepas mencipta rekod jaringan di Piala Dunia kelima ketika membantu Portugal menewaskan Ghana 3-2.
Ikon yang semakin berusia itu meledak jaringan pada minit ke-65 menerusi sepakan penalti sekali gus mengatasi senarai rekod Pele, Uwe Seeler dan Miroslav Klose, yang masing-masing meledak gol dalam empat edisi Piala Dunia.
“Ia satu detik yang indah, Piala Dunia kelima saya, kami menang dan kami bermula dengan langkah kanan. Ia satu kemenangan yang penting, kami tahu perlawanan pertama itu penting tetapi rekod dunia juga sesuatu yang membanggakan saya,” kata Ronaldo beberapa hari selepas berpisah dengan Manchester United.
Sebelum ini, gergasi Liga Perdana Inggeris, United mengumumkan Ronaldo berpisah dengan pasukan selepas membuat kritikan terhadap kelab dan juga pengurus, Erik ten Hag dalam satu temubual di televisyen.
Namun dia langsung tidak menunjukkan sebarang tanda kekecewaan menamatkan khidmatnya di Old Trafford dengan meledak jaringan pada perlawanan itu yang turut dilakukan bintang sedang meningkat naik, Rafael Leao dan Joao Felix.
“Ia satu langkah yang penting, ia adalah satu minggu untuk menamatkan peringkat ini. Ia sudah tertutup dan kami mahu memulakan dengan langkah kanan.
“Saya boleh membantu pasukan saya dan yang tidak lagi penting,” katanya.
Sementara itu, jurulatih Portugal, Fernando Santos memuji pemainnya itu yang mungkin membuat penampilan terakhir di Piala Dunia.
“Saya percaya orang ramai akan bercakap mengenai kejayaannya, dia seorang yang fenomena, legenda seperti yang lain dalam arena bola sepak.
“Dalam tempoh 50 tahun, kita masih bercakap mengenainya,” kata Santos.
AFP